Apakah penyebab penyakit ini pada ayam? Kuman penyebab penyakit ini dikenali sebagai Virus Newcastle Disease. Newcastle Disease Virus (NDV) adalah serupa dengan virus yang dikenali sebagai avian paramyxovirus serotype 1 (PMV-1). Ayam adalah antara jenis unggas yang paling terkesan dengan wabak ini manakala unggas air seperti itik adalah yang paling kurang terkesan walaupun ada yang terjangkit tapi peratusnya kurang. Selain ayam dan itik, didapati burng merpati dan turkey juga boleh dijangkiti oleh sampar.
CARA JANGKITAN
Virus sampar bukan sahaja terkenal di Malaysia tetapi juga terdapat di kebanyakan negara Asia termasuk Indonesia, Filipina dan Thailand. Negara-negara barat contohnya USA dan Kanada sebingga artikel ini ditulis adalah sangat kurang terkesan dengan penyakit ini.
Virus sampar disebarkan melalui 3 cara iaitu :
1. Udara yang keluar dari hidung
2. Air liur atau mukus yang keluar dari hidung atau mulut
3. Najis
Manakala ejen pembawa virus ini daripada satu kawasan ke kawasan yang lain adalah :
1. Unggas itu sendiri bila dipelihara secara lepas bebas
2. Burung-burung liar yang singgah dari satu kawasan ke kawasan lain untuk makan dan minum
3. Haiwan lain seperti tikus dan termasuk manusia yang singgah dari satu kawasan ke kawasan lain
GEJALA KLINIKAL
Gejala yang terpamer pada unggas yang terjangkit adalah
berbeza dari setiap ekor bergantung kepada jenis unggas, strain virus, umur
unggas, jangkitan sedia ada pada unggas, stress persekitaran dan status imun
unggas. Kadang-kala strain virus sampar
yang rendah pun dapat membunuh semua unggas pada satu kawasan sekiranya tahap
imun unggas kawasaan tersebut sangat lemah disebabkan pelbagai faktor. Jika
unggas terdedah kepada virus ini, unggas hanya akan mula menunjukkan gejala
selepas 2-12 hari dan bukannya serta merta.
Dari itu, penternak kadang-kala tidak sedar bahawa ternakan mereka sudah
terjangkit kerana Nampak masih sihat!
Antara gelaja yang sering dilihat pada unggas yang terjangkit adalah :
1. Gejala pernafasan seperti bersin, bernafas dengan mulut ternganga dan berbunyi
2. Tubuh menggigil, kepak & kaki lumpuh, leher terpusing @ terkulai, unggas bergerak berpusing-pusing @ mengundur dan seterusnya lumpuh total
3. Tembolok tidak hadam
4. Cirit-birit
5. Kurang bertelur, telur cacat seperti bentuk herot-petot, kecil dan kulit berwarna ganjil dari sebelumya
6. Jumlah kematian adalah pelbagai tetapi boleh mencecah kepada 100%!
KAWALAN, PENCEGAHAN & RAWATAN
Buat masa ini, tiada rawatan khusus yang disahkan berkesan
bagi mengubati unggas yang telah terjangkit kerana terlalu banyak kerosakan
yang dilakukan oleh virus terhadap tubuh unggas yang telah dijangkiti. Jika ada rawatan yang berjaya pun,
kadang-kadang atas faktor terpencil dan bukan semua unggas yang telah
terjangkit dapat diselamatkan menggunakan kaedah rawatan yang sama. Saya satu
ketika dulu pernah menggunakan bermacam-macam ubatan untuk menyembuhkan sampar
pada ayam saya. Antara bahan yang saya
gunakan pada masa kritikal di awal tahun 90-an dulu adalah ramuan campuran akar
bakawali, kunyit & halia diberi minum.
Beri ayam makan Panadol. Asapkan reban dengan cara bakar kulit bawang
dicampur cili kering. Tanam pokok rotan
tepi reban untuk pencegahan. Namun tidak
juga dapat merawat semua yang terjangkit, hanya segelintir yang tahap awal
sahaja berjaya diselamatkan. Banyak juga yang cacat kekal (lumpuh atau kepala
teleng) dan akhirnya terpaksa juga disembelih.
Terdapat beberapa perkara yang perlu dilakukan sekiranya anda ingin mencegah sampar di reban anda.
Antara yang paling utama adalah :
1. Pastikan beli unggas dari ladang yang diyakini tidak mempunyai ayam sakit.
2. Elakkan membeli unggas dari ladang lain buat sementara waktu pada musim sampar.
3. Selalu membasmi kuman di reban anda sebaiknya sebulan sekali.
4. Pastikan tiada burung-burung liar yang selalu datang singgah makan dan minum di reban anda kerana mereka kadang-kala membawa penyakit.
5. Pastikan tiada pelawat dari reban lain dibimbangi beliau juga membawa virus ke reban anda, atau basmi kuman seluruh tubuh pelawat sebelum masuk ke reban anda, atau beri beliau pakaian khas supaya virus dari tubuh beliau tidak bergerak ke reban anda.
6. Sentiasa ikut jadual pemvaksinan penyakit sampar.
Kaedah pencegahan yang paling terpercaya buat masa ini
adalah pemberian vaksin sampar. Terdapat
2 jenis vaksin sampar iaitu jenis live (hidup) dan jenis killed (mati). Vaksin live biasanya perlu diberikan setiap 3
bulan secara dalam air minuman manakala untuk jenis killed diberikan setiap 6
bulan melalui suntikan ke dalam daging dada unggas (intramuscular). Dengan
memberikan vaksin kepada unggas yang masih sihat, ia akan mengaktifkan sistem pertahananan
tubuh unggas dalam melawan virus sampar.
Vaksin samada live atau killed adalah lemah dan tidak akan memberi kesan
penyakit kepada unggas, ia hanya bertindak sebagai ‘virus tipu’ supaya tubuh
unggas segera mengaktifkan antibodi khusus untuk melawan virus sampar. Oleh itu, sekiranya dalam tempoh 3 @ 6 bulan
mendatang, jika virus sampar sebenar sampai, maka imun tubuh unggas terhadap
sampar masih ada dan mampu menahan serangan tersebut. Dengan ini unggas bebas dari jangkitan dan gejala sampar.
Pengalaman saya mengamalkan vaksin pada ayam-ayam saya, pernah saya lihat pada musim sampar menyerang, ayam-ayam saya selamat tidak terjangkit, tetapi ayam-ayam jiran yang bermain bersekali dengan ayam-ayam saya hampir semua mati terkena sampar. Begitulah kejadian yang meyakinkan saya bahawa pemvaksinan adalah salah satu usaha yang wajib dilakukan selain doa dan tawakkal. Anda boleh mandapatkan vaksin sampar dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) terdekat dengan anda atau boleh juga hubungi saya jika perlu bantuan mendapatkan vaksin di 012-524 5002. Sepanjang pengalaman saya mengamalkan pemvaksinan pada ternakan ayam saya, sangat kurang kes sampar terjadi (sebenarnya tiada langsung bila dah vaksin, yang kena juga tu sebab lupa bagi vaksin sebab sangat sibuk sampai lupa jadual vaksin haha). Penternak sebolehnya cuba ikuti langkah-langkah pemvaksinan yang disarankan oleh JPV atau pakar-pakar ternakan berkaitan. Mereka samada telah mempunyai tauliah atau pengalaman yang berguna untuk dijadikan tauladan bagi penternak yang baru berjinak-jinak dengan ternakan unggas ini.