Saturday, October 30, 2021

Ayam Arab Si Penelur Dari Zaman Kuno

 Ayam Arab (Egyptian Fayoumi)


Ayam Arab dengan warna silver-pencilled


Asal Usul

Ayam arab atau nama rasminya Egyptian Fayoumi adalah sejenis ayam penelur tulen yang berasal dari Tanah Arab iaitu Faiyum sebuah bandar 100km dari Kaherah (Cairo).  Ia dikenali sebagi satu baka ayam penelur zaman kuno Tanah Arab.  Taburan baka ini mula tersebar keseluruh dunia apabila sebilangan telur diimport oleh USA sekitar tahun 1940an.  Namun begitu, USA telah membuat kacukan silang dengan ayam local mereka untuk menguatkan daya tahan tubuh ayam Arab tersebut di samping cuba mengekalkan ciri-ciri fizikal dan prestasi pengeluaran telur ayam Arab.  Pada tahun 1984 ayam Arab diimport pula oleh UK, ketika ini 2 warna ayam Arab telah diterima bakanya iaitu silver-pencilled (putih) dan gold-pencilled (merah).

 

 
Ayam Arab Putih dan Merah
Foto Ihsan : ayamjoper.id

Ciri-ciri

Ayam Arab mempunyai balung tunggal.  Mempunyai warna mata yang sangat gelap dan bercelak. Paruh dan kuku juga berwarna gelap. Warna bulu ayam Arab yang wujud pada masa sekarang cuma ada 2, iaitu silver-pencilled (putih) dan gold-pencilled (merah).  Tetapi setahu saya, warna asal-usul ayam Arab adalah silver-pencilled sahaja, entah dari mana dan sejak bila pula wujudnya variasi warna gold-pencilled menjadi satu tanda Tanya buat saya ketika ini dan saya akan cuba mancari faktanya kelak.  Berbalik kepada sifat fizikal ayam Arab, ia mempunyai tubuh yang agak panjang dan agak menegak.  Berat hidup ayam Arab jantan dewasa adalah sekitar 1.5-1.8kg manakala betina pula sekitar 1.3-1.6kg.  Sifat ketara ayam Arab adalah mereka tidak mempunyai bulu yang lebat dan panjang seperti baka lain. Jika dilihat pada jambakan ekor, lawi, bulu tengkuk dan bulu pinggang, didapati ayam Arab adalah seperti seekor ayam dengan pertumbuhan bulu yang tidak siap.  Hal ini sangat ketara pada ayam jantannya yang matang.  Namun begitu, mereka sangat aktif melompat dan terbang dengan ketinggian yang agak memeranjatkan.  Pagar dengan ketinggian 6 kaki dengan mudah dilepasi.  Ayam Arab sangat sesuai dengan iklim panas seperti di Malaysia.  Ayam Arab juga dikatakan lebih tinggi daya imun melawan penyakit, dikhabarkan ayam Arab tulen mampu menahan serangan virus Marek’s dan beberapa virus dan bakteria penyakit tahap rendah lain (wow hebat!!).  Disebabkan itu juga, ayam Arab sangat sesuai diternak secara lepas bebas (free range).  Akibat pembiakbakaan tanpa kawalan, dipercayai baka ayam Arab di Malaysia telah bercampur dengan baka lokal walaupun masih ketara sifat fizikalnya menyerupai ayam Arab tulen.  Ini dapat dilihat apabila induk ayam Arab-Malaysia ini mengeluarkan anak-anak yang pelbagai, ada yang menyerupai ayam Arab, ada yang menyerupai ayam lokal dan ada yang berada di tengah-tengah (Anda tentu perasan kan!?)

 

Foto Ihsan : Utas

Kegunaan

Kegunaan utama ayam Arab adalah untuk tujuan penelur. Seekor ayam Arab betina mampu mengeluarkan sehingga 250 biji telur pada tahun pertama sejak ia mula bertelur.  Warna kulit telur adalah cerah (lebih kurang sama warna telur ayam kampung lokal).  Tidak hairanlah para penternak di Malaysia kebanyakannya menjual telur ayam Arab sebagai telur ayam kampung untuk dimakan. Ini kerana ayam Arab betina tidak mudah mengeram, dengan itu ia sentiasa ada masa untuk bertelur hamper sepanjang tahun.  Dengan kadar pengeluaran telur yang sehebat itu, keuntungan penternak per tahun akan meningkat berbanding jika penternak mengusahakan ayam kampung lokal yang seperti kita tahu akan cenderung untuk melalui proses mengeram dan membawa anak (walaupun perkara ini boleh dikawal dengan kaedah-kaedah tertentu, namun siapa yang suka tambah kerja jika ada yang lebih mudah.. kan!?).

Ayam Arab jantan muda disembelih untuk dagingnya, namun begitu warna dagingnya yang sedikit gelap membuatkan baka ini tidaklah menjadi pilihan utama di meja-meja menu berprestij (Perkara ini juga berlaku di Malaysia).  Namun begitu, kekreatifan para tukang masak berjaya menyembunyikan warna daging ayam Arab dengan menu-menu masakan mereka untuk pasaran biasa di kedai-kedai makan.  Rasa daging ayam Arab tidaklah berbeza berbanding ayam lokal, jadi anda tidak perlu risau jika ingin menyembelih ayam Arab untuk masakan di rumah anda.  Saya sendiri adalah salah seorang penternak dan penggemar daging ayam Arab sejak sekian lama, Alhamdulillah.

 

Warna Telur Ayam Arab

Pembiakan

Disebabkan baka ini sangat cepat matang di mana si jantan akan mula berkokok pada usia 3 bulan manakala si betina akan mula bertelur paling awal pada usia 4.5 bulan, maka ayam Arab sangat cepat membiak.  Namun begitu, penternak mestilah mahir mengendalikan mesin penetasan bagi tujuan menetaskan telur-telurnya kerana ayam Arab betina tidak akan mengeram!. Apa???  Sebenarnya ayam Arab betina akan mengeram, tetapi bukan pada usia muda, mereka akan mula mengeram apabila 2 perkara ini ada.  Pertama : usia yang melebihi 2 tahun.  Kedua : kawasan sarang yang tiada gangguan.  Bila terbaca fakta ini, kita sebagai penternak ayam Arab mungkin tidak setuju kerana ada pengalaman yang ayam Arab di reban kita mengeram walaupun umur baru 8 bulan, kerana kita lupa bahawa ayam Arab di Malaysia bukan lagi tulen. Haha kecewa kan.  Tapi tidak mengapa, walaupun kebanyakannya bukan pure breed tapi hasilnya lumayan juga. Cara kedua untuk menetaskan telur ayam Arab adalah menggunakan ibu ayam lokal yang sedang mengeram.  Kaedah ini sangat popular sekiranya anda ingin menjimatkan kos membeli incubator.  Namun begitu, setiap ekor ibu tumpang ayam lokal hanya mampu mengeram antara 10 – 20 biji telur sahaja berbanding incubator yang boleh menampung sehingga berpuluh ribu biji per eraman.  Jika ayam Arab ingin diusahakan secara komersil maka tidak boleh tidak maka incubator adalah pilihan terbaik.

Anak ayam Arab adalah sangat kuat dan cergas.  Dengan warna yang berbelang memanjang ditubuhnya menjadikan ia salah satu anak haiwan yang sangat cantik semasa menetas. 


Pasaran Di Malaysia

Di Malaysia, (ketika artikel ini tulis) ayam Arab kacukan lokal yang masih mempunyai ciri-ciri ketara fizikal ayam Arab dijual sebagai ayam lokal (ayam kampung asli).  Tetapi ia tidak menjadi pilihan utama apabila dikira faktor warna dagingnya.  Namun begitu ia akan menjadi pilihan sekiranya untuk tujuan pengeluaran telur.  Dengan harga timbangan hidup yang setara ayam lokal, maka pilihan ini adalah tepat.  Manakala jika dijual sebagai ayam Arab tulen, harganya sangat berbeza iaitu lebih tinggi.  Jika ayam lokal dijual hidup berdasarkan timbangan sekitar RM18 - RM25 per kg, ayam Arab kategori yang dikira ‘tulen’ adalah sekitar RM80-RM150 seekor.  Manakala anak ayam Arab yang berumur di bawah 7 hari dijual dengan harga antara RM3.50-5.50 seekor tanpa mengira jantina (rawak).  Pasaran telur ayam Arab untuk tujuan makan adalah di antara RM0.50-RM0.80 per biji.  Manakala untuk tujuan penetasan adalah di antara RM1.00-RM1.50 per biji.


Ayam Arab Siap Proses


Sehingga tarikh artikel ini ditulis,  saya masih belum terserempak dengan baka ayam Arab (Egyptian Fayoumi) yang disahkan ketulenannya di Malaysia.  Namun begitu, saya percaya ayam Arab yang terdapat di Malaysia walaupun mempunyai sedidkit darah ayam lokal, tetapi ia mampu mempamerkan kualiti dan prestasi yang hampir setanding dengan baka ayam Arab tulen di negara asal-usulnya.  Insya Allah.