Sunday, December 11, 2022

PERIHAL AYAM ORGANIK

     


     Salam semua, terima kasih kepada para pelawat yang masih sudi membaca blog saya ini.  Kali ini saya ingin menulis berkaitan AYAM ORGANIK.  Ya, ayam organik.  Satu istilah yang besar dan dalam maknanya tetapi disebabkan beberapa keadaan para pengguna menjadi keliru tentang apa itu ayam organic.  Saya rasa terpanggil untuk menulis tentang hal ini sebagai salah satu rujukan kepada rakan-rakan pengguna dan penternak yang masih mencari kebenaran.

     Kata nama ayam organik adalah sebenarnya ditakrifkan sebagai apa-apa jenis ayam yang sesuai diternak dengan menggunakan makanan organik yang bebas Genetically Modified Organsm(GMO) dan racun kimia, ubatan bebas kimia sintetik dan kaedah menternak yang telah digariskan oleh JPV. Jika dilihat pada takrifan ini, jelas sekali bahawa ayam organic bukanlah sejenis baka, tetapi adalah kaedah ianya diternak.  Bermakna ayam pedaging sekalipun boleh dijadikan ayam organic.  Begitu juga ayam hutan, ayam  kampung kacuk, ayam kampung asli, ayam penelur, ayam serama dan sebagainya.  Seterusnya saya akan ulas lebih lanjut tentang apakah syarat-syarat yang telah digariskan bagi memastikan ayam mendapat status organic dari JPV Malaysia.

     Bagi menghasilkan ayam organik, anak ayam yang diperolehi tidak wajib dari sumber yang organic.  Bermaksud sebarang jenis anak ayam dari apa-apa sumber boleh digunakan selagi umurnya adalah kurang dari 3 hari (masih dikenali sebagai Day Old Chick-DOC) dan bebas penyakit berjangkit. 



Contoh syarikat yang mendapat pengiktirafan
myOrganic pada ayam mereka.


Perumahan Ayam

     Bagi memastikan sijil organic diperolehi, ladang yang digunakan untuk membesarkan ayam mestilah berdaftar dengan JPV.  Ayam boleh diperlihara samada secara kaedah lepas bebas, separa bebas atau berkurung dalam reban sepenuhnya.  Bagi ayam lepas bebas, kawasan yang diperuntukan perlulah sesuai dan cukup makanan supaya tidak menyebabkan perubahan gizi dan zat dalam tumbuhan dan tanah kawasan tersebut.  Bagi kaedah reban terkurung sepenuhnya pula, susunatur reban mestilah membolehkan ayam mudah mendapatkan makanan dan minuman dari bekas-bekas yang tersedia.  Selain itu, tahap haba, peredaran udara, pencahayaan, kehadiran debu, kelembapan dan keadaan persekitaran perlulah dipantau supaya tidak membawa kesan negatif kepada ayam.  JPV juga memberi kelonggaran tanpa menyebut saiz ruang yang wajib disediakan per ekor ayam di dalam garis panduannya, namun begitu seperti yang kita tahu, minima saiz lantai per ekor ayam adalah 1sqf.  Jika dapat lebih, itu lebih bagus.  Ini sesuai dengan kenyataan JPV iaitu supaya ayam-ayam tersebut dapat berdiri, berjalan, duduk dan bergerak secara selesa dalam reban tersebut, dalam erti kata lain, ayam dapat melakukan perangai ayamnya secara total tanpa sekatan.  Sebarang pembasmian kuman yang dibuat juga mestilah menggunakan bahan yang dibenarkan untuk digunakan dalam perladangan organic dan tidak meninggalkan kesan ke atas produk organic tersebut.

 

Pengurusan Ladang

     Ayam-ayam hendaklah diurus dengan penuh perikemanusiaan dan dilayan sebagai makhluk hidup.  Pemotongan paruh adalah tidak dibenarkan sama sekali.  Keadaan reban adalah di dalam suasana paling kurang stress dan mempunyai pengudaraan yang baik.

 

Nutrisi

     Formulasi makanan hendaklah diberikan secara optima dari segi protein, tenaga, mineral dan vitamin mengikut tahap tumbesaran dan umur ayam.  Bahan makanan hendaklah bersumber dari bahan organic termasuk dari tumbuhan atau haiwan yang mana ia bebas dari racun makhluk perosak atau GMO.  JPV mengesyorkan makanan tersebut diperolehi dari kilang pemprosesan makanan yang mendapat pengesahan organic dari JPV.  Ini kerana bukan sahaja bahan-bahan utama sahaja yang perlu mendapat kelulusan organic dari JPV, namun begitu bahan tambahan dalam makanan ayam seperti bahan pengikat, penstabil, anti-oksidan, pengawet, ejen pewarna dan penambah selera juga perlu mendapat status organic sebelum ianya digunakan.  Sebarang antibiotik memang sangat dilarang tetapi pengilang boleh menggantikannya dengan probiotik, enzim dan micro-organisma cthnya EM.

 

Pengurusan Kesihatan

     Dalam perladangan ayam organic, pencegahan penyakit dimulai sedari pemilihan baka dan susur galur ayam lagi.  Anak-anak ayam yang dipilih adalah dari keturunan yang sihat dan cukup matang serta kuat.  Jelas mereka bukan dari hasil inbreeding (inbreeding mempunyai banyak kesan negative terhadap kesihatan ayam).  Selain itu, kaedah pengurusan yang teratur juga menyumbang kepada tahap kesihatan yang tinggi.  Kawalan biosekuriti ladang adalah penting di mana kawalan keluar masuk staf dan pembekal adalah diberi perhatian sepenuhnya.  Jika rawatan diperlukan, maka hanya ubatan yang berupa vitamin organic, probiotik dan phytobiotik sahaja yang dibenarkan.  Sebarang antibiotic adalah dilarang.

 

Penyembelihan

     Semua ayam perlu disembelih di pusat penyembelihan berlesen.  Ayam perlu disahkan sihat oleh JPV sebelum disembelih.  Seperti biasa, ayam perlu disembelih dalam keadaan stress yang minima.

 

Penyimpanan

     Produk organic hendaklah sentiasa disimpan dalam keadaan yang baik tanpa mengubah sifat rupa dan rasanya.  Ia juga perlu disimpan secara berasingan dari produk yang sama jenis tetapi tiada status organic.

 

Baiklah, demikian perihal tentang penghasilan ayam organic mengikut garis panduan yang diberikan oleh JPV dalam dokumen garis panduan yang dikeluarkan pada 2014.  Betapa ketatnya syarat yang dikenakan, namun begitu terdapat beberapa syarikat yang mampu memenuhi syarat-syarat tersebut dan berjaya mendapat sijil MyOrganic dari JPV.  TAHNIAH!

 

KEKELIRUAN

Perkara ini terjadi ada 2 cara :

1.    Penipuan

Terdapat penternak yang secara haram melabel ayam mereka sebagai ayam organic tanpa mendapat kelulusan dari pihak JPV.  Tindakan ini adalah sangat tidak saya sokong kerana mereka ingin mengaut keuntungan melalui tipu daya.  Kita boleh membuat laporan kepada KPDNKK jika bertemu dengan isu begini.  Kerana penipuan sebegini akan merosakkan industri ternakan ayam di Malaysia.

2.    Kebiasaan panggilan di negeri-negeri tertentu

Di negeri-negeri Pantai Timur seperti Kelantan dan Terengganu, ayam kampung kacuk dikenali sebagai ayam organic.  Jadi tidak hairanlah mereka kerapkali berjual beli ayam organic di sana.  Isu timbul bila mereka mula menjual ayam kampung kacuk ke pasaran luar Pantai Timur, istilah ayam organic telah disalah  erti oleh orang luar Pantai Timur menyebabkan sedikit salah faham dan mencetus tuduh menuduh bahawa mereka ingin ditipu.  Padahal hanya salah faham akibat berbeza bahasa dan istilah.  Bagi sesiapa yang membaca artikel saya ini mohon selepas ini fahamlah jika berbual dengan orang-orang Kelantan atau Terengganu, mohon faham bahawa masih ada lagi di antara mereka menggunakan istilah ayam kampung kacuk sebagai ayam organic kerana mereka menganggap ianya adalah sejenis baka, bukannya kaedah menternak dan sudah menjadi satu trademark di kalangan mereka. Tiada salah dipihak mereka dan kita, cuma bila kita masuk kandang kambing perlulah mengembek.

Sekian dulu coretan saya pada kali ini, diharap sedikit sebanyak menjadi panduan kepada para pembaca semua. Terima kasih.

PENGIRAAN KOS TERNAK AYAM KAMPUNG KACUK

Penulis(bertopi) bersama dengan rakan kongsi di ladang AKK kami.

        Salam sejahtera kepada para pelawat blog Anizam Agro Farm.  Posting saya pada kali ini adalah untuk membantu para pemula industri ternak ayam kampung kacuk (AKK) bagi membuat anggaran kiraan untung rugi dalam menternak AKK.  Kaedah pengiraan ini diharapkan dapat membantu mereka yang berniat memulakan ternakan AKK sebagai salah satu punca pendapatan secara kecilan.  Perlu diingatkan bahawa pengiraan ini adalah hanya sebagai CONTOH bagi pihak pembaca memahami bagaimana pengiraan kos berlaku.  Baik, mari kita mulakan.

 

Kos-kos terlibat untuk 100 ekor anak ayam per kitar

Kos Berubah

(Bermaksud kos yang akan dikeluarkan setiap kali anak ayam dibawa masuk untuk diternak dan mengikut jumlah anak ayam)

1.    Anak ayam                                       : RM4.10       x 100 ekor      = RM410.00

2.    Makanan pemula guni 50kg            : RM140.00   x 3 guni          = RM420.00

3.    Makanan penggemuk guni 50kg      : RM138.00   x 4 guni          = RM552.00

4.    Vitamin 200g                                   : RM15.00     x 3 pek            = RM45.00

5.    Pembasmi kuman 500ml                 : RM25.00     x 1 botol          = RM25.00

6.    Habuk kayu guni 4kg                      : RM5.00       x 15 guni          = RM250.00

7.    Air & Elektrik                                  : RM150.00   x 1 bulan         = RM150.00

Total Kos Berubah = RM1,677.00

 

Kos Tetap

(Bermaksud kos yang dikeluarkan sekali sahaja dalam aktiviti menternak ayam dengan jumlah yang tidak lebih dari 100 ekor)

1.    Reban untuk 100 ekor bersaiz 10ft x 10ft (100sqf)                 = RM1,000.00

2.    Bekas makan 12kg                      : RM28          x 3 pcs           = RM84.00

3.    Bekas minum 1 gelen                  : RM12          x 3 pcs           = RM36.00

4.    Bekas minum 3 gelen                  : RM18          x 4 pcs           = RM72.00

Total Kos Tetap = RM1,192.00

 

        Baik, sekarang mari kita mula mengira.  Untuk kemasukan 100 ekor ayam per kitaran dari umur 1 hingga 60 hari kita akan mengeluarkan modal sebanyak RM1,677.00.  Ini bermasksud jika kita bahagikan RM1,677.00 kepada 100 ekor ayam, maka kos seekor ayam adalah RM16.77.  Pada umur 60 hari, purata berat hidup seekor ayam adalah 1.6kg.  Maka dengan ini, kos per kilogram ayam adalah RM16.77 dibahagi kepada 1.6kg iaitu RM10.48.  Oleh itu, jika kita jual ayam hidup dengan harga RM15.00 per kilogram, maka keuntungan yang kita dapat adalah RM4.52 per kilogram (Bagi penternak yang menternak kurang 500 ekor saya nasihatkan sila buat jualan dengan harga runcit supaya lebih untung, kerana jualan dengan harga borong adalah sangat rendah iaitu RM12/kg).  Dengan kata lain RM4.52 x 1.6kg iaitu RM7.23 keuntungan per ekor. (Ramai penternak baru keliru antara per kg dan per ekor, sila ulang baca untuk betul-betul faham)  Oleh yang demikian, bagi 100 ekor ayam, kita akan mendapat keuntungan sekitar RM723.00.

        Perlu kita ingat bahawa dalam kes ini kita menganggap tiada sewaan dan kos upah perlu dikeluarkan pada setiap bulan memandangkan jika ternakan dibuat bawah 500 ekor, penternak tidak perlu menyewa dan mengupah.  Jumlah ternakan yang berbaloi dilakukan secara sewaan dan upah adalah 10,000 ekor ke atas.  Jika kurang, mungkin penternak ada bonus tanah sendiri atau staf gunasama iaitu penjaga kebun dan reban serentak.

        Sekarang kita kira pula Titik Pulang Modal kita atau Return On Invesment (ROI).  Seperti yang kita tahu bahawa kita ada kos tetap yang jumlahnya adalah RM1,192.00 yang mana bangunan dan perkakasan dianggap akan mampu bertahan paling kurang selama 5 tahun.  Penentuan ROI adalah dibuat oleh penternak sendiri iaitu dengan kesanggupan penternak mengorbankan jumlah keuntungan per kitar untuk dimasukkan ke dalam tabung claim kos tetap. 

        Contohnya jika penternak mahu menabung RM200.00 daripada RM723.00 tersebut dan juga pada setiap kitaran yang akan datang, maka keuntungan penternak per kitar hanya tinggal RM523.00.  Dengan ini, RM1,192.00 dibahagi kepada RM200.00 = 5.96 atau 6, bermaksud setelah 6 kitaran menternak barulah selesai balik modal bagi kos tetap bernilai RM1,192.00 tersebut maka menjadikan pada kitaran ke-7 dan seterusnya, penternak akan menggunakan reban dan perkakasan secara percuma iaitu tanpa perlu lagi memotong RM200.00 dari keuntungan per kitar.  Penternak akan mendapat RM723.00 secara penuh selagi reban dan perkakasan tidak rosak dan tiada pembelian baru.

    Jika penternak dapat mengeluarkan 4 kitaran ayam hidup untuk dijual dalam setahun, maka ROI beliau akan memakan masa 1 tahun setengah untuk 6 kitaran.  Setelah itu, beliau bebas menanggung hutang kos tetap. TAHNIAH!

 

PERHATIAN : Pengiraan adalah dijalankan berdasarkan kajian penulis pada masa dan tarikh artikel ini ditulis, perubahan harga makanan ternakan, perkakasan, reban dan harga jualan ayam hidup mungkin akan berubah mengikut masa.  Penulis tidak dapat bertanggungjawab di atas apa-apa kerugian di pihak tuan/puan dari penulisan ini.