Salam sejahtera kepada para pelawat blog
kesayangan saya ini, di mana saya cuba menyampaikan sumber maklumat
yang saya rasakan penting melaluinya. Kali ini suka untuk saya
mengulas tentang 2 jenis baka ayam dua-guna (daging & telur) yang
pernah menjadi kegemaran para penternak di USA pada suatu masa dulu iaitu Rhode
Island Red (RIR) dan Rhode Island White (RIW).
Mari kita
ulas berkaitan RIR dahulu memandangkan RIR telah masuk ke pasaran Malaysia dan
menjadi viral, sudah semestinya ramai yang kenal. Sejarah RIR bermula
sekitar tahun 1800 di mana RIR mula dihasilkan dengan membuat silangan antara
beberapa jenis ayam seperti Red Malay Game, Brown Leghorn, Java, Cochin dan
Shanghai. RIR dihasilkan dengan dua jenis balung iaitu balung tungga
(single comb) dan balung rose (rosecomb). Pada tahun 1904, RIR balung
tunggal berjaya didaftarkan ke American Poultry Association (APA) sebagai
baka piawai. Pada tahun 1906, RIR balung rose pula berjaya di daftarkan
di APA. RIR mempunyai bulu merah yang pekat kehitaman, bulu ekor hitam
dengan kilauan hijau dan berkaki kekuningan dengan sedikit coklat di atas
setiap sisik hadapan kaki. RIR menghasilkan telur yang berwarna
kecoklatan dengan saiz yang agak besar. Saiz jantan matang RIR adalah
sekitar 3.9kg manakala betinanya 3.0kg.
Apa yang menjadi kekeliruan adalah, ramai yang
menyangka RIW adalah dihasilkan daripada RIR dan cuma beza warna bulu, sebenarnya
tidak tepat. RIW bukan dari keturunan RIR, nama lebih kurang sama
hanya kerana mereka dihasilkan di lokasi yang sama iaitu Rhode Island, Amerika
Syarikat. Sejarahnya bermula sekitar tahun 1888 daripada hasil usaha Mr. J.
Alonzo Jocoy telah membangunkan baka ini yang digarab daripada beberapa jenis
baka lain seperti White Wyandottes, Partridge Cochin dan Rosecomb White
Leghorn. Baka ini dimurnikan dari tahun ke tahun sehinggalah bentuk tubuh
dan saiznya seakan Rhode Island Red (RIR) tetapi masih mengekalkan bentuk balung rose (rosecomb) di kepalanya. Pada tahun 1922, RIW
diterima sebagai salah satu baka ayam piawai berdaftar oleh American Poultry
Association (APA). RIW jantan mempunyai berat sekitar 3.8kg manakala
betinanya sekitar 2.9kg. Sama seperti RIR, RIW menghasilkan telur bersaiz agak besar dengan warna kulit coklat cair. Sifat RIW adalah sangat jinak, mempunyai
dada yang lebar dan bulu yang agak lembut dan tebal. Pada masa kini
populasi RIW di dunia adalah sangat sedikit, entah bila pula dapat di import
masuk ke Malaysia.
Pada masa kini, RIR menjadi pilihan kerana ia mudah diperolehi kerana terdapat syarikat-syarikat besar membiakkannya untuk dijadikan Parent Stock (PS) kepada ayam penelur hibrid contohnya syarikat Lohmann, Hi-Sex, Hy-Line, Dekalb dan Bovan. Sebaliknya RIW mendapat nasib yang agak buruk kerana ia hampir ditinggalkan dan tidak sepopular rakan sekampungnya RIR.