Salam sejahtera kepada para pembaca dan rakan ternak yang budiman. Berjumpa lagi kita dalam blog kesayangan saya ini. Seminggu-dua ni saya teringin menulis berkaitan salah satu penyakit yang berupaya melumpuhkan ayam iaitu Viral Arthritis. Jom kita huraikan.
Pengenalan
Penyakit
yang dikenali sebagai Viral Arthritis(Tenosynovitis) ini adalah penyakit yang
membentuk radang pada tendon di lutut ayam.
Radang yang berlaku akan menyebabkan tendon di lutut mengalami luka dan
membengkak, seterusnya menyebabkan ayam kurang upaya untuk berdiri atau menjadi
lumpuh jika berada pada peringkat kritikal.
Ia disebabkan oleh sejenis virus yang dikenali sebagai Avian Reovirus.
Kaedah jangkitan
Kaedah jangkitan adalah
melalui induk ayam, perkakasan dalam reban atau reban yang telah dijangkiti, virus
dipindahkan kepada anak-anak ayam dalam tempoh 48 jam selepas penetasan. Virus ini akan mula menunjukkan kesan apabila
ayam meningkat dewasa di mana ketika ayam betul-betul memerlukan kakinya untuk
menampung berat badan masing-masing.
Sepengalaman saya, ayam yang mempunyai saiz besar atau tinggi seperti
ayam laga yang tinggi, ayam ratu, pelung, aseel, Malay dan indio gigante adalah
cenderung untuk cepat lumpuh apabila dijangkiti penyakit ini. Selain itu, ayam yang tidak mendapat zat yang
cukup juga cenderung untuk mudah dijangkiti dengan virus ini, jadi
berhati-hatilah dalam memilih pemakanan untuk ayam anda.
Gejala yang ditunjukkan
Gejala akan mula kelihatan
pada ayam yang berusia lebih dari 30 hari dan ke atas.. Sekitar 30% daripada jumlah ayam akan
terjangkit dan menunjukkan gejala ketara.
Ayam yang dijangkiti akan menunjukkan gejala seperti berikut :
1.
Banyak masa dihabiskan dengan duduk berbanding
berdiri.
2.
Bahagian belakang lutut kelihatan membengkak.
3.
Lama kelamaan ayam mulai lumpuh.
4. Kesukaran untuk berdiri menyebabkan ayam akan
kurang makan dan minum, membawa kepada dehidrasi dan kematian.
Para penternak ayam
dinasihatkan sentiasa peka kepada setiap perubahan kepada tingkah laku dan
fizikal ayam supaya setiap gejala dapat dikenalpasti dengan segera. Ini penting dalam mempercepatkan proses
penyembuhan.
Rawatan dan pencegahan
Rawatan - Tiada rawatan khusus
yang terbukti dapat menyembuhkan penyakit ini secara total. Namun begitu, dengan mengamalkan penjagaan
rapi, kebersihan dan ubatan, terdapat juga ayam yang berjaya disembuhkan
walaupun mengambil masa yang lama. Bukan
semua ayam yang ‘sembuh’ dapat berfungsi dengan sempurna, contohnya terdapat
ayam jantan yang sembuh namun begitu hadapi kesukaran untuk memanjat
betina. Antara ubatan yang biasanya
digunakan dalam rawatan adalah antibiotik seperti amoxicillin (Pamoxyl atau
Pharmox), florfenicol (Flor-X atau Florfen) dan oxytetracycline (kapsul hijau putih). Pemberian vitamin pengurang stress juga
membantu contohnya Vita Stress atau Nopstress.
Selain itu terdapat juga ubatan khas untuk kes lumpuh keluaran syarikat
veterinar seperti Power Forte, Ostelin atau Osteo Plus. Adalah lebih mudah merawat ayam bersaiz kecil, ringan dan rendah berbanding ayam yang bersaiz besar, berat dan tinggi. Namun begitu, saya yakin, pencegahan adalah
langkah terbaik memandangkan sangat sukar merawat ayam yang telah sakit. Sangat-sangat memenatkan.