Monday, February 21, 2022

AYAM LUMPUH AKIBAT RADANG LUTUT

Salam sejahtera kepada para pembaca dan rakan ternak yang budiman.  Berjumpa lagi kita dalam blog kesayangan saya ini.  Seminggu-dua ni saya teringin menulis berkaitan salah satu penyakit yang berupaya melumpuhkan ayam iaitu Viral Arthritis.  Jom kita huraikan.

 


Pengenalan

Penyakit yang dikenali sebagai Viral Arthritis(Tenosynovitis) ini adalah penyakit yang membentuk radang pada tendon di lutut ayam.  Radang yang berlaku akan menyebabkan tendon di lutut mengalami luka dan membengkak, seterusnya menyebabkan ayam kurang upaya untuk berdiri atau menjadi lumpuh jika berada pada peringkat kritikal.  Ia disebabkan oleh sejenis virus yang dikenali sebagai Avian Reovirus.


 

Kaedah jangkitan

Kaedah jangkitan adalah melalui induk ayam, perkakasan dalam reban atau reban yang telah dijangkiti, virus dipindahkan kepada anak-anak ayam dalam tempoh 48 jam selepas penetasan.  Virus ini akan mula menunjukkan kesan apabila ayam meningkat dewasa di mana ketika ayam betul-betul memerlukan kakinya untuk menampung berat badan masing-masing.  Sepengalaman saya, ayam yang mempunyai saiz besar atau tinggi seperti ayam laga yang tinggi, ayam ratu, pelung, aseel, Malay dan indio gigante adalah cenderung untuk cepat lumpuh apabila dijangkiti penyakit ini.  Selain itu, ayam yang tidak mendapat zat yang cukup juga cenderung untuk mudah dijangkiti dengan virus ini, jadi berhati-hatilah dalam memilih pemakanan untuk ayam anda.

 
Bengkakan ketara pada sendi lutut

Gejala dimulai dengan bengkakan di belakang lutut

Perbezaan antara dua belah kaki yang mempunyai bengkakan tendon lutut


Gejala yang ditunjukkan

Gejala akan mula kelihatan pada ayam yang berusia lebih dari 30 hari dan ke atas..  Sekitar 30% daripada jumlah ayam akan terjangkit dan menunjukkan gejala ketara.  Ayam yang dijangkiti akan menunjukkan gejala seperti berikut :

1.    Banyak masa dihabiskan dengan duduk berbanding berdiri.

2.    Bahagian belakang lutut kelihatan membengkak.

3.    Lama kelamaan ayam mulai lumpuh.

4.  Kesukaran untuk berdiri menyebabkan ayam akan kurang makan dan minum, membawa kepada dehidrasi dan kematian.

Para penternak ayam dinasihatkan sentiasa peka kepada setiap perubahan kepada tingkah laku dan fizikal ayam supaya setiap gejala dapat dikenalpasti dengan segera.  Ini penting dalam mempercepatkan proses penyembuhan.

 

Rawatan dan pencegahan

Rawatan - Tiada rawatan khusus yang terbukti dapat menyembuhkan penyakit ini secara total.  Namun begitu, dengan mengamalkan penjagaan rapi, kebersihan dan ubatan, terdapat juga ayam yang berjaya disembuhkan walaupun mengambil masa yang lama.  Bukan semua ayam yang ‘sembuh’ dapat berfungsi dengan sempurna, contohnya terdapat ayam jantan yang sembuh namun begitu hadapi kesukaran untuk memanjat betina.  Antara ubatan yang biasanya digunakan dalam rawatan adalah antibiotik seperti amoxicillin (Pamoxyl atau Pharmox), florfenicol (Flor-X atau Florfen) dan oxytetracycline (kapsul hijau putih).  Pemberian vitamin pengurang stress juga membantu contohnya Vita Stress atau Nopstress.  Selain itu terdapat juga ubatan khas untuk kes lumpuh keluaran syarikat veterinar seperti Power Forte, Ostelin atau Osteo Plus.  Adalah lebih mudah merawat ayam bersaiz kecil, ringan dan rendah berbanding ayam yang bersaiz besar, berat dan tinggi. Namun begitu, saya yakin, pencegahan adalah langkah terbaik memandangkan sangat sukar merawat ayam yang telah sakit.  Sangat-sangat memenatkan.


 






Pencegahan - Pertama sekali, anak-anak ayam perlulah diperolehi daripada induk yang telah divaksin terhadap serangan Avian Reovirus.  Selain itu, biosekuriti perlu diketatkan bagi mengelakkan penyebaran virus ini diladang.  Induk perlu divaksin pada seawal usia 4-5 hari dan diulang pemvaksinan pada usia 30 – 40 hari.  Vaksin Avian Reovirus adalah sangat jarang dijual, jadi adalah penting bagi para penternak mengenalpasti pembekalnya supaya mudah dicari jika memerlukan. 

Vaksin digunakan bagi mencegah gejala radang 
pada ayam akibat jangkitan Avian Reovirus