Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada para pelawat
blog saya yang tidak seberapa ini.
Kali ini saya
akan menulis berkaitan ayam SASSO. Apa
sebenarnya ayam SASSO? Kenapa ia dibawa masuk ke Malaysia? Kenapa ianya
mendapat permintaan hangat pada masa sekarang? Semuanya akan saya huraikan di
dalam tulisan saya kali ini.
SASSO sebenarnya
adalah nama sebuah syarikat pengeluar baka ayam yang beroperasi di Perancis
(France). SASSO adalah dari singkatan
"Sélection Avicole de la Sarthe et du Sud Ouest" yang membawa maksud
"Poultry Selection from Sarthe and South West". Sarthe dan South West adalah nama lokasi di
Perancis. Ini membawa maksud ayam-ayam
yang dikeluarkan oleh SASSO adalah
ayam-ayam yang bakanya dipilih dari 2 kawasan tersebut dan disatukan lalu
dijalankan kajian genetik sehinggalah menghasilkan beberapa jenis ayam hibrid
yang mencapai tujuan yang dikehendaki oleh mereka. SASSO mula beroperasi lewat tahun 1960-an
lagi. Bayangkan hasil mereka setelah
kajian selama hampir 60 tahun dalam bidang genetik ayam, sudah semestinya hebat. Fokus SASSO adalah mengeluarkan beberapa
hibrid ayam yang digunakan untuk tujuan pedaging namun menyediakan alternatif
kepada ayam pedaging moden. Ini bermaksud, SASSO menghasilkan ayam pedaging
yang mempunyai kadar pertumbuhan yang perlahan jika dibandingkan dengan ayam
pedaging komersil seperti hibrid Ross and Cobb (ayam pedaging bulu putih biasa).
Apa keperluan mengeluarkan hibrid ini? Sejak kehadiran ayam pedaging bulu putih
sekitar tahun 1950-an, para penduduk dunia dihidangkan dengan masakan dari ayam
pedaging yang berusia 40 hari (anak ayam), dengan kualiti daging yang terlalu
muda itu, agak kurang rasa ayam sebenar dapat dinikmati. Para penggemar ayam masih mencari kualiti
daging yang lebih bagus, di sinilah SASSO mengambil peluangnya. Dengan kepakaran yang ada, SASSO mula
mengkaji baka-baka asli yang ada di negara mereka dan mula menghasilkan hibrid
yang memenuhi permintaan tersebut.
Hibrid tersebut mestilah tidak terlalu cepat dan tidak terlalu lambat
membesar untuk mencapai saiz sembelihan.
Pada masa
artikel ini ditulis, SASSO mempunyai 3 jenis kod induk parent stock (PS) dan 6
jenis kod pembaka seperti berikut.
Induk :
Pembaka :
Setiap induk
yang dihasilkan mempunyai kelebihan di mana ia mampu menghasilkan anak-anak
(F1) hampir 100% mengikut phenotype dan genotype si pembaka. Contohnya jika pembaka Ruby C (C44) yang
bertubuh besar dibiakkan bersama induk SA31A yang bertubuh kecil, maka anak
yang terhasil samada jantan atau betina adalah mengikut ciri-ciri pembaka Ruby
C (C44) yang akan cepat membesar, bertubuh besar serta warna bulu yang sama
(anak-anak ini yang kita kenali sebagai ayam gajah, israel @ sroel). Kelebihan pada SA31A adalah ia mempunyai
genetik resesif di mana tidak akan mempengaruhi kepada genetik anak-anaknya
kelak. Oleh kerana tubuhnya yang kecil,
maka SA31A sangat menjimatkan kos makanan dan ruang. Inilah kelebihan yang
dihasilkan oleh SASSO yang tiada pada ayam biasa yang kita pelihara
sekarang. Pendek kata jika kita biakkan
SA31A dengan ayam cemani yang serba hitam itu, maka anak-anak (F1) yang
dikeluarkan juga adalah hitam dan saling tidak tumpah ayam cemani.
Namun begitu, kelemahan F1 adalah ia tidak dapat
mengekalkan ciri-ciri yang ada pada dirinya kepada anak-anaknya (F2) di mana
anak-anak hasil pembiakan F1 jantan dan F1 betina yang dikenali sebagai F2
tidak lagi membawa genotype dan phenotype F1.
Sebagai contoh :
Induk SASSO kod SA31A dibiakkan dengan jantan Cemani akan
hasilkan anak-anak jantan dan betina F1 (hitam seakan cemani)
F1 Jantan dibiakkan dengan F1 Betina tadi akan hasilkan
anak-anak (F2) yang tidak lagi hitam keseluruhan seperti F1. Akan ada bulu
kecoklatan di tubuh F2 kerana membawa semula genetik resesif SA31A yang telah
diaktifkan semula.
Di Malaysia, SA31A sangat terkenal dan di bawa masuk untuk
dibiakkan bersama ayam kampung lokal seperti apa yang dilakukan oleh pihak
MARDI untuk menghasilkan ayam kampung MARDI.
Tidak kurang juga syarikat-syarikat seperti Sin Long Heng, GSM, KAMI
Farming dan lain-lain menggunakan SA31A dan dibiakkan dengan ayam jantan lokal
yang telah dihibridkan untuk menghasilkan hibrid baru yang diberi nama ayam
kampung kacuk. Terdapat juga syarikat
yang masih mengekalkan baka hibrid SASSO dalam keluarannya seperti syarikat
Charoen Pokhpand yang membiakkan induk SA31A dengan pembaka C44 dan Ruby N.
Seiring dengan pertumbuhan populasi penduduk di Malaysia,
keperluan makanan terutama daging ayam adalah sangat tinggi sehingga Malaysia
terpaksa mengimport ayam dari negara jiran.
Malaysia dengan itu berusaha mewujudkan ladang-ladang ayam pedaging
komersil denga pesat bagi menampung keperluan tersebut. Namun begitu, terdapat juga golongan
penggemar ayam kampung dan mereka ini kurang memakan ayam pedaging komersil di
atas pelbagai alasan samada tentang penggunaan antibiotik, rasa daging sehingga
kaedah ternak. Maka peluang inilah
diambil oleh syarikat-syarikat tertentu untuk memperkenalkan baka SASSO di
Malaysia. Sesi perkenalan ini disambut
baik oleh golongan penggemar ayam 'slow growth' ini. Dan sejak itu sampailah ke hari ini
permintaan tidak pernah putus.
Walaupun ayam SASSO tergolong dalam kategori ayam pedaging
berwarna (colored broiler) dan menjadi isu perdebatan hangat di Malaysia pada
maka kini, namun permintaannya tidak pernah surut sejak ia mula dibawa masuk ke
Malaysia. Ia menjadi sumber rezeki
kepada pelbagai golongan masyarakat disebabkan harga yang mampu milik dan
kitaran tumbesaran yang hebat di samping kualiti daging yang agak baik seiring
dengan tumbesarannya.
Anak-anak F1 hasil dari induk SA31A dan Ruby C
Sepertimana induk SASSO, para pembaka SASSO juga mempunyai
kelebihan tersendiri. Ruby C contohnya
mempunyai stuktur tulang yang besar dan dada yang luas membolehkan daging diisi
dengan lebih banyak manakala Thunder mempunyai tubuh yang tinggi dan warna bulu
yang menarik. Mamba pula mempunyai bulu hitam keseluruhan dan antara hibrid
terbaru daripada SASSO.