Saturday, April 4, 2020

Infectious Coryza : Penyakit pernafasan ayam.



Assalamualaikum dan dalam sejahtera kepada para penggiat ternakan dan pertanian seantero dunia.  Kali ni saya nak bercerita tentang penyakit ayam. Ya penyakit ayam yang agak tersohor dan femes sepanjang abad 21 ni iaitu penyakit infectious coryza atau coryza atau selsema. 

Antara symptom penyakit ini adalah :

- Selsema 
- Nafas berbunyi 
- Mata berair 
- Bengkak muka
- Mata bengkak 
- Muka pucat 
- Balung jatuh 
- Hidung berair 
- Bersin


Foto 1 : Simptom/gejala mata berair dan berbuih menunjukkan peringkat permulaan jangkitan.
(Foto ihsan fieldcasestudy.com)


Foto 2 : Simptom/gejala bengkak muka menunjukkan bakteria bejaya dalam usahanya.
(Foto ihsan fieldcasestudy.com)


 Foto 3 : Simptom/gejala serius, nanah beku memenuhi kelopak mata dan bakal merosakkan mata.
(Foto ihsan fieldcasestudy.com)


Foto 4 : Muka dibelah untuk melihat keadaan dalaman yang bernanah.
(Foto ihsan fieldcasestudy.com)




*Simptom bermaksud gejala yang ditunjukkan atau yang dapat dilihat pada perilaku atau/dan tubuh ayam yang dijangkiti. Terdapat penyakit-penyakit yang menunjukkan simptom yang serupa tetapi kombinasi simptom akan memudahkan kita untuk mengenalpasti jenis penyakit selain kaedah ujian makmal.

Penyakit ini diakibatkan oleh sejenis bakteria yang dikenali sebagai bacterium haemophilus paragallinarum atau juga dikenali sebagai avibacterium pragallinarum.  Ia merebak melalui wap air pernafasan, makanan dan minuman yang tercemar.  Berlaku apabila ada ayam yang dibawa masuk ke reban tanpa tapisan, kehadiran burung-burung yang sebelumnya makan dan minum dari ladang yang telah dijangkiti, atau... tokey ladang sendiri yang bawa bakteria ke ladangnya dari sisa tapak kasut semasa melawat ladang lain yang ytelah dijangkiti (yang ni naya..)

Serangan dimulakan pada sistem pernafasan ayam, tak hairanlah nafas ayam akan berbunyi dan kadang-kadang bersin, diikuti dengan mata dan hidung berair.  Muka dan mata mula bengkak pada peringkat pertengahan jangkitan. Pada peringkat serius, mata akan mulai bernanah dan nanah mengeras merosakkan bola mata, tubuh menjadi sangat kurus, muka pucat, balung jatuh dan ayam hilang selera makan.  Pada ketika ini, ayam akan nazak di mana tidak lagi mahu makan.  Jika kita tunggu hingga saat ini berlaku, maka peluang untuk merawat adalah sangat tipis.

Coryza bukan sahaja digeruni kerana membunuh ayam (sekitar 50% hilang nyawa), tetapi sebagai seorang penternak untuk tujuan jualan daging, berat ayam yang tiba-tiba menurun adalah juga satu kebimbangan yang tidak kurang hebatnya.  Kerugian menanti di situ.  Manakala kepada para breeder, pengeluaran telur akan terjejas, dan jika adapun keluar telur, kurang kualitinya.  Anak-anak yang bakal tetas tidak secergas sebelumnya dan cepat sakit dan sebagainya. Walaupun diberitakan ayam kampung lebih imun atau lebih kuat daya tahan melawan penyakit ini, namun jika telah mula terjangkit, ia tetap merebak seolah-olah tiada yang dapat menghalang.

Dalam pengalaman saya sendiri, ayam yang dijangkiti coryza pernah hidup hampir 3 bulan dalam keadaan hidup segan mati tak mahu. Maka ia menjadi perumah dan vektor ejen perebak kuman coryza kepada ayam-ayam sihat yang lain.  Sebab itulah saya sarankan tuan-tuan hapuskan dan bakar bangkai ayam-ayam berpenyakit tersebut supaya rantaian penyakit putus terus. Ya memang saya sendiri pernah simpan ayam-ayam berpenyakit ini kerana sayang, namun itu adalah bukan jalan yang bagus. Last-last menyesal tak sudah bila ayam-ayam lain pun terjangkit sama. Padan muka aku haha

Kenapa ayam mudah dijangkiti coryza?  Ya tuan-tuan, sebelum datang coryza kadang-kadang kita dah ternak 3-4 batch tiada apapun yang berlaku, elok je.. ayam gemuk bulat macam bola kadang-kadang salah sepak ingatkan bola.. namun begitu, kalau dah kuantiti dan strain bakteria tu dah tinggi memang tak tahan juga imun tubuh ayam nak melawan.  Bakteria berkeupayaan menyesuaikan diri dan berkembang jumlahnya dengan meningkatkan imun tubuhnya sendiri terhadap persekitaran termasuk antibodi dan antibiotik. Alah bisa tegal biasa katanya.  Dibantu pula oleh kandungan bakteria jahat lain yang telah banyak berumah di dalam tubuh ayam, memang syok la beliau dapat geng.. tubuh dah sedia lemah. Sebab itulah kita guna antibiotic untuk melawan coryza.  Antibiotik dapat membunuh sebahagian bakteria dan membantu antibodi tubuh untuk mempertahankan tubuh ayam daripada berterusan dijangkiti.  Antibiotik seperti amoxicillin, florfenicol, toltrazuril, tetracycline dan banyak lagi antibiotik berspektrum luas boleh digunakan dalam merawat coryza.  Pemberian antibiotic juga disarankan ditambah dengan vitamin (bancuhan ringan) sebagai booster penyembuhan untuk ayam-ayam tersebut.

So apa cara mencegah pula? 
Bagi saya, jika ladang kita memang menjadi tempat yang pernah dijangkiti wabak, maka vaksinlah ayam-ayam kita dengan vaksin yang berkaitan.  Contohnya dalam kes penyakit coryza ini, untuk batch kedua selepas semuanya selesai, amalkan penggunaan vaksin infectious coryza (biasanya jenis injection).  Ya memang makan kos sedikit di sini, tapi pandanglah masa depan, vaksin kos seekor mungkin 50sen, kalau masa-masa ke depan ayam tu mati, lenyap rugi lebih dari itu jadinya. Vaksin dapat membina imun tubuh terhadap jangkitan coryza, namun begitu anda kena faham bahawa bukan semua ayam dapat bertindakbalas kepada vaksin tersebut dengan baik.  Ada di antaranya akan kekal tidak meningkat imunnya. Maka dalam hal ini kita dah berusaha, berdoa dan hanya tinggal bertawakkal.  Sepengalaman saya menggunakan vaksin jenis ini sejak 2014, alhamdulillah hanya kurang 5% ayam-ayam yang mati akibat jangkitan coryza.  Tidaklah ia melarat macam sebelumnya, dah macam orang hilang akal saya dibuatnya. Haha.

Antara ubatan dan vaksin yang pernah dan sering saya gunakan dalam mencegah dan merawat penyakit coryzaa pada ayam-ayam saya adalah :

Vaksin (Untuk mencegah)
OLVAC B+HG
CORI-VAC
HG-Gelvac
HG-Gelvac 3

* saya pilih salah satu sahaja, paling saya suka adalah OLVAC B+HG sebab ada 3 vaksin dah dalam tu iaitu sampar (ND), lelah (IB) dan selsema (coryza)


Antibiotik (Untuk Merawat)
Flor-X : Mengandungi bahan aktif florfenicol
Tilmicox : Mengandungi bahan aktif tilmicosin
Pharmox : Mengandungi bahan aktif amoxicilin
Pamoxyl : Mengandungi bahan aktif amoxicilin

*saya biasanya sering gunakan Flor-X untuk rawatan individu dan Pharmox untuk rawatan berkumpulan.


Vitamin (Untuk membantu dalam proses pemulihan)
Vita Stress
VP1000

*saya paling suka gunakan Vita Stress kerana murah  dan mudah diperolehi ditempat saya, kesannya pun bagus.


Akhir kata mohon ampun dan maaf sekiranya tulisan saya ada yang tidak memberi manfaat kepada tuan/puan.  Saya dari semasa ke semasa cuba untuk merungkai segenap permasalah berkaitan ternakan unggas.  Diharap dengan ilmu yang ada ini dapatlah membantu anda yang baru mula nak berkecimpung dalam dunia ternakan unggas. Aamin.

Sekian.


2 comments:

  1. Hai, nak tanya psl Vita Tetra Chlor. Ada withdrawal period utk telur tak? Sy bg kat itik.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.