Sunday, December 11, 2022

PENGIRAAN KOS TERNAK AYAM KAMPUNG KACUK

Penulis(bertopi) bersama dengan rakan kongsi di ladang AKK kami.

        Salam sejahtera kepada para pelawat blog Anizam Agro Farm.  Posting saya pada kali ini adalah untuk membantu para pemula industri ternak ayam kampung kacuk (AKK) bagi membuat anggaran kiraan untung rugi dalam menternak AKK.  Kaedah pengiraan ini diharapkan dapat membantu mereka yang berniat memulakan ternakan AKK sebagai salah satu punca pendapatan secara kecilan.  Perlu diingatkan bahawa pengiraan ini adalah hanya sebagai CONTOH bagi pihak pembaca memahami bagaimana pengiraan kos berlaku.  Baik, mari kita mulakan.

 

Kos-kos terlibat untuk 100 ekor anak ayam per kitar

Kos Berubah

(Bermaksud kos yang akan dikeluarkan setiap kali anak ayam dibawa masuk untuk diternak dan mengikut jumlah anak ayam)

1.    Anak ayam                                       : RM4.10       x 100 ekor      = RM410.00

2.    Makanan pemula guni 50kg            : RM140.00   x 3 guni          = RM420.00

3.    Makanan penggemuk guni 50kg      : RM138.00   x 4 guni          = RM552.00

4.    Vitamin 200g                                   : RM15.00     x 3 pek            = RM45.00

5.    Pembasmi kuman 500ml                 : RM25.00     x 1 botol          = RM25.00

6.    Habuk kayu guni 4kg                      : RM5.00       x 15 guni          = RM250.00

7.    Air & Elektrik                                  : RM150.00   x 1 bulan         = RM150.00

Total Kos Berubah = RM1,677.00

 

Kos Tetap

(Bermaksud kos yang dikeluarkan sekali sahaja dalam aktiviti menternak ayam dengan jumlah yang tidak lebih dari 100 ekor)

1.    Reban untuk 100 ekor bersaiz 10ft x 10ft (100sqf)                 = RM1,000.00

2.    Bekas makan 12kg                      : RM28          x 3 pcs           = RM84.00

3.    Bekas minum 1 gelen                  : RM12          x 3 pcs           = RM36.00

4.    Bekas minum 3 gelen                  : RM18          x 4 pcs           = RM72.00

Total Kos Tetap = RM1,192.00

 

        Baik, sekarang mari kita mula mengira.  Untuk kemasukan 100 ekor ayam per kitaran dari umur 1 hingga 60 hari kita akan mengeluarkan modal sebanyak RM1,677.00.  Ini bermasksud jika kita bahagikan RM1,677.00 kepada 100 ekor ayam, maka kos seekor ayam adalah RM16.77.  Pada umur 60 hari, purata berat hidup seekor ayam adalah 1.6kg.  Maka dengan ini, kos per kilogram ayam adalah RM16.77 dibahagi kepada 1.6kg iaitu RM10.48.  Oleh itu, jika kita jual ayam hidup dengan harga RM15.00 per kilogram, maka keuntungan yang kita dapat adalah RM4.52 per kilogram (Bagi penternak yang menternak kurang 500 ekor saya nasihatkan sila buat jualan dengan harga runcit supaya lebih untung, kerana jualan dengan harga borong adalah sangat rendah iaitu RM12/kg).  Dengan kata lain RM4.52 x 1.6kg iaitu RM7.23 keuntungan per ekor. (Ramai penternak baru keliru antara per kg dan per ekor, sila ulang baca untuk betul-betul faham)  Oleh yang demikian, bagi 100 ekor ayam, kita akan mendapat keuntungan sekitar RM723.00.

        Perlu kita ingat bahawa dalam kes ini kita menganggap tiada sewaan dan kos upah perlu dikeluarkan pada setiap bulan memandangkan jika ternakan dibuat bawah 500 ekor, penternak tidak perlu menyewa dan mengupah.  Jumlah ternakan yang berbaloi dilakukan secara sewaan dan upah adalah 10,000 ekor ke atas.  Jika kurang, mungkin penternak ada bonus tanah sendiri atau staf gunasama iaitu penjaga kebun dan reban serentak.

        Sekarang kita kira pula Titik Pulang Modal kita atau Return On Invesment (ROI).  Seperti yang kita tahu bahawa kita ada kos tetap yang jumlahnya adalah RM1,192.00 yang mana bangunan dan perkakasan dianggap akan mampu bertahan paling kurang selama 5 tahun.  Penentuan ROI adalah dibuat oleh penternak sendiri iaitu dengan kesanggupan penternak mengorbankan jumlah keuntungan per kitar untuk dimasukkan ke dalam tabung claim kos tetap. 

        Contohnya jika penternak mahu menabung RM200.00 daripada RM723.00 tersebut dan juga pada setiap kitaran yang akan datang, maka keuntungan penternak per kitar hanya tinggal RM523.00.  Dengan ini, RM1,192.00 dibahagi kepada RM200.00 = 5.96 atau 6, bermaksud setelah 6 kitaran menternak barulah selesai balik modal bagi kos tetap bernilai RM1,192.00 tersebut maka menjadikan pada kitaran ke-7 dan seterusnya, penternak akan menggunakan reban dan perkakasan secara percuma iaitu tanpa perlu lagi memotong RM200.00 dari keuntungan per kitar.  Penternak akan mendapat RM723.00 secara penuh selagi reban dan perkakasan tidak rosak dan tiada pembelian baru.

    Jika penternak dapat mengeluarkan 4 kitaran ayam hidup untuk dijual dalam setahun, maka ROI beliau akan memakan masa 1 tahun setengah untuk 6 kitaran.  Setelah itu, beliau bebas menanggung hutang kos tetap. TAHNIAH!

 

PERHATIAN : Pengiraan adalah dijalankan berdasarkan kajian penulis pada masa dan tarikh artikel ini ditulis, perubahan harga makanan ternakan, perkakasan, reban dan harga jualan ayam hidup mungkin akan berubah mengikut masa.  Penulis tidak dapat bertanggungjawab di atas apa-apa kerugian di pihak tuan/puan dari penulisan ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.