Tuesday, November 14, 2023

Rhode Island Red (RIR) vs Rhode Island White (RIW)

     Salam sejahtera kepada para pelawat blog kesayangan saya ini, di mana saya cuba  menyampaikan sumber maklumat yang saya rasakan penting melaluinya.  Kali ini suka untuk saya mengulas tentang  2 jenis baka ayam dua-guna (daging & telur) yang pernah menjadi kegemaran para penternak di USA pada suatu masa dulu iaitu Rhode Island Red (RIR) dan Rhode Island White (RIW). 





     Mari kita ulas berkaitan RIR dahulu memandangkan RIR telah masuk ke pasaran Malaysia dan menjadi viral, sudah semestinya ramai yang kenal.  Sejarah RIR bermula sekitar tahun 1800 di mana RIR mula dihasilkan dengan membuat silangan antara beberapa jenis ayam seperti Red Malay Game, Brown Leghorn, Java, Cochin dan Shanghai.  RIR dihasilkan dengan dua jenis balung iaitu balung tungga (single comb) dan balung rose (rosecomb).  Pada tahun 1904, RIR balung tunggal berjaya didaftarkan ke American Poultry Association (APA) sebagai baka piawai.  Pada tahun 1906, RIR balung rose pula berjaya di daftarkan di APA.  RIR mempunyai bulu merah yang pekat kehitaman, bulu ekor hitam dengan kilauan hijau dan berkaki kekuningan dengan sedikit coklat di atas setiap sisik hadapan kaki.  RIR menghasilkan telur yang berwarna kecoklatan dengan saiz yang agak besar. Saiz jantan matang RIR adalah sekitar 3.9kg manakala betinanya 3.0kg.





     Apa yang menjadi kekeliruan adalah, ramai yang menyangka RIW adalah dihasilkan daripada RIR dan cuma beza warna bulu, sebenarnya tidak tepat.  RIW bukan dari keturunan RIR, nama lebih kurang sama hanya kerana mereka dihasilkan di lokasi yang sama iaitu Rhode Island, Amerika Syarikat. Sejarahnya bermula sekitar tahun 1888 daripada hasil usaha Mr. J. Alonzo Jocoy telah membangunkan baka ini yang digarab daripada beberapa jenis baka lain seperti White Wyandottes, Partridge Cochin dan Rosecomb White Leghorn.  Baka ini dimurnikan dari tahun ke tahun sehinggalah bentuk tubuh dan saiznya seakan Rhode Island Red (RIR) tetapi masih mengekalkan bentuk balung rose (rosecomb) di kepalanya.  Pada tahun 1922, RIW diterima sebagai salah satu baka ayam piawai berdaftar oleh American Poultry Association (APA).  RIW jantan mempunyai berat sekitar 3.8kg manakala betinanya sekitar 2.9kg.  Sama seperti RIR, RIW menghasilkan telur bersaiz agak besar dengan warna kulit coklat cair.  Sifat RIW adalah sangat jinak, mempunyai dada yang lebar dan bulu yang agak lembut dan tebal.  Pada masa kini populasi RIW di dunia adalah sangat sedikit, entah bila pula dapat di import masuk ke Malaysia.

     Pada masa kini, RIR menjadi pilihan kerana ia mudah diperolehi kerana terdapat syarikat-syarikat besar membiakkannya untuk dijadikan Parent Stock (PS) kepada ayam penelur hibrid contohnya syarikat Lohmann, Hi-Sex, Hy-Line, Dekalb dan Bovan.  Sebaliknya RIW mendapat nasib yang agak buruk kerana ia hampir ditinggalkan dan tidak sepopular rakan sekampungnya RIR.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.