Saturday, June 7, 2025

Projek Uji Cuba Penanaman Pisang Tanduk Lang: Kejayaan di Atas Tanah 2 Ekar

 


23 Februari 2023 menandakan detik permulaan kepada satu langkah berani – projek uji cuba penanaman pisang tanduk lang di atas tanah seluas 2 ekar. Dengan sasaran tinggi dan harapan besar, sebanyak 2,000 pokok pisang tanduk lang telah ditanam sebagai inisiatif awal dalam meneroka potensi pertanian skala sederhana secara lebih komersial. Saya akui inilah kali pertama saya menanam pisang tanduk walaupun sejak kecil selalu ikut ayah ke kebun pisang awak di kampung.

Permulaan Projek: Dari Tanah Kosong ke Ladang Subur

Tanah ini dahulunya dipenuhi dengan tanaman halia oleh para Bangla penceroboh tanah, mereka memang bergerak dengan cara itu di kawasan ini.  Pantang ada tanah kosong, terus langgar.  Bila kena halau terus cabut lari.  Cari lagi tanah lain kut-kut untung sabut tuan tanah tak cakna.  Sempat la kaut hasil haram. Sangat sedikit petani kawasan tersebut menanam pisang.  Saya antara yang pelik kerana kebanyakan mereka menanam keledek keladi dan ubi kayu.  Penyediaan tanah dilakukan lebih awal, dengan sistem pengairan dan saliran yang tidak seberapa, saya tetap kuatkan semangat untuk uruskan sebaik mungkin bagi memastikan kadar kelembapan sesuai dengan keperluan tanaman pisang tanduk lang. Pemilihan varieti pisang tanduk lang dibuat berdasarkan potensi pasaran dan permintaan yang semakin meningkat terhadap pisang jenis ini, terutamanya untuk dijadikan kerepek dan bahan masakan.  Ia juga sangat rintang kepada penyakit.  




Benih pisang saya beli dari Ustaz Marshadi di Puchong dengan harga RM1.50 sepokok.  Saya pilih benih sulur berbanding benih tisu kultur kerana factor harga.  Modal tak berapa besar diperuntukkan untuk projek ujicuba ini.  Benih ada yang saiz kecil dan ada yang saiz besar, campur-campur tapi Alhamdulillah semua benih sihat dan elok.  Saya pergi sendiri ambil dan pada masa yang sama saya lihat sendiri kesuburan pokok-pokok induk di sana.

Penjagaan dan Pemantauan

Disebabkan masa terhad kerana kekangan kerja, saya terpaksa simpan benih-benih yang saya beli hampir seminggu sebelum di tanam.  Risau saya kalau-kalau benih rosak, tapi Allah Maha Kuasa, semua benih tetap segar walaupun dilonggok bertindih di antara satu sama lain pada jangka waktu seminggu itu.  Pada 23 Februari 2023 maka mulalah saya menanam benih.  Jarak penanaman saya guna 5 kaki x 5 kaki sahaja.  Kawasan tersebut adalah tanah gambut, cabaran menanam adalah bila korek lubang tak sampai 1 kaki dah ada air.  Risau pangkal benih reput terendam tapi semua dah ready, saya teruskan juga.  Berbekal doa semoga benih tidak terjejas dengan kehadiran air tersebut.  Saya dan budak-budak kerja (terdiri daripada para pelajar saya dan tukang kebun tempat saya bekerja) selesai menanam dalam tempoh 4 hari (2 kali Sabtu & Ahad).  Sebelum menanam saya hanya ikut cakap Ustaz Marshadi iaitu korek lubang, tabur baja akar dan racun Furadan, baru tanam.  Saya ikut sebiji apa yang dipetuakan.  Kita orang baru ,tangan jangan gatal melencong, buruk padahnya nanti haha.  




Setelah tanam, saya terus siram sebab pokok akan ditinggal seminggu tanpa jagaan.  Saya dan team hanya ada Sabtu dan Ahad sahaja untuk kerja ladang.  Selepas seminggu saya periksa setiap benih samada hidup atau mati, ada di antaranya macam dah mati tapi bila dikupas kulit luar yang membusuk tu rupanya ada tunas segar sedang tumbuh dari dalam.  Alhamdulillah sangat meyakinkan.  Setelah sebulan saya lihat lebih 98% benih tumbuh dan bakinya mati akibat tanah di kawasan tersebut ‘mati’ dan tidak memegang baja.  Sebenarnya ada kawasan tompokan tanah yang di kira ‘mati’ sebab seolah tiada baja dan pH tak kena, puas rawat tapi masih sama.  Jadi tanah sebegini perlu dikorek dan diganti dengan tanah subur dari kawasan lain.  Kerja-kerja macam ni sangat makan tenaga kami.  


Pembajaan saya buat 2 minggu sekali iaitu selang-seli antara baja kimia (Yaramila 16-16-16) dengan baja kompos najis ayam.  Baja najis ayam adalah dari reban saya sendiri, diproses kompos dengan cara gaul rata dengan EM dan peram lebih sebulan.  Alhamdulillah menjadi dan jimat kos.  Cabaran semasa membaja adalah kadang-kadang hujan sangat lebat selepas membaja kimia, air hujan bawa larutan baja ke parit dan hilang.  Kerap juga terjadi, membaja hari ini, esok atau lusa hujan sangat lebat turun.  Kalau hujan biasa insya Allah saya tak risau.  





Pada usia anak pokok dah 4 bulan lebih, saya dah hentikan baja kimia.  Sebab kos tinggi dan saya putuskan teruskan hanya dengan baja kompos najis ayam hingga berbuah.  Bila poko berbuah saya hentikan semua baja.  Hanya kawal rumput dan pangkas daun sahaja.  Kawalan sangat rumit pada awal penanaman iaitu ketika benih pisang masih kecil, banyak rumput tumbuh melampaui ketinggian anak benih, nak menebas pun kadang-kadang tercantas anak pisang.  Meracun pun teracun anak pisang.  Saya suka guna racun jenis sentuh contohnya Rainpat 566.  Kesannya cepat, dalam 3 hari dah kering dan mudah saya pantau anak pisang.  



Bila usia anak pisang 4 bulan ke atas, penjagaan rumpai dah mudah, sebab kawasan lindungan daun pisang rumput tak tumbuh sangat.  Lega sangat masa tu.  Sebenarnya saya cuba kurangkan racun dan baja kimia di kebun pisang.  Sebolehnya nak elakkan tapi apakan daya, belum mampu jaga cara lain.  Syukur Alhamdulillah kawasan kebun saya tiada babi dan monyet, jadi tiada kerugian dari dua makhluk tu.  Bersyukur sangat-sangat.

Musim Menuai: Januari hingga Jun 2024

Selepas hampir setahun, hasil pertama mula dituai pada Januari 2024. Kemuncak tuaian berlaku antara bulan Mac hingga Mei, sebelum berakhir sepenuhnya pada bulan Jun 2024. Secara keseluruhan, antara 8 hingga 9 tan pisang berjaya dituai sepanjang musim. Ini merupakan pencapaian yang sangat memberangsangkan untuk sebuah projek ujicuba.  Saya tuai setiap hujung minggu, ada juga pisang saya dicuri, walaupun tak banyak tapi sakit hati juga haha.  Saya anggap ujian kerana sayapun tak letak penjaga dan kebun tak berpagar.  Walaupun dicuri, untung tetap ada alhamdulillah.










Saluran Pemasaran: Borong dan Runcit

Sebahagian besar hasil tuaian dijual secara borong kepada peraih tempatan pada harga sekitar RM4.80-5.50 per kilogram. Sambutan daripada pemborong amat menggalakkan, kerana kualiti pisang tanduk lang yang dituai adalah baik dan memenuhi piawaian pasaran.

Namun begitu, tidak semua hasil dijual secara borong. Sebahagian pisang digunakan untuk pasaran runcit, dijual terus kepada pelanggan melalui gerai jualan dan pesanan dalam talian. Tambahan pula, lebihan hasil turut diproses menjadi kerepek pisang tanduk, yang ternyata mendapat sambutan luar biasa. Kerepek ini dijual dalam pek kecil dan besar, sesuai sebagai snek dan juga cenderamata makanan tempatan.  Saya jual RM16 per paket 500g.  Penat juga nak siapkan 500g tu pun haha.  Tapi semangat kuat nak jadikan benchmark jadi saya teruskan.





Manfaat dan Pelajaran Daripada Projek

Projek ini bukan sahaja membuktikan bahawa penanaman pisang tanduk lang mampu memberikan pulangan ekonomi yang baik, malah membuka mata saya kepada potensi tanaman ini dalam skala yang lebih besar. Beberapa pelajaran penting yang diperoleh termasuk:

  • Pentingnya penjagaan berkala dan tentunya memerlukan pekerja tetap yang tinggal di kebun.
  • Keselamatan hasil daripada para pencuri, juga memerlukan pekerja tetap yang tinggal di kebun.


Langkah Seterusnya

Melihat kepada kejayaan projek ini, saya telah membina sebuah rumah pekerja dan menggaji seorang pekerja untuk menjalankan kerja-kerja penanaman pisang pada musim akan dating.  Semoga projek kedua ini akan lebih power.  Oh ya, sementara projek kedua berlangsung, saya gunakan tanah untuk tanam keledek oren, insya Allah saya akan kongsikan pula pengalaman saya tanam keledek oren.

Kesimpulan

Projek penanaman pisang tanduk lang ini membuktikan bahawa dengan perancangan teliti, komitmen tinggi dan inovasi dalam pemasaran, pertanian mampu menjadi sumber pendapatan yang stabil dan menguntungkan. Meskipun dimulakan sebagai uji cuba, kejayaan yang dicapai memberi isyarat bahawa pertanian moden berasaskan tanaman seperti pisang tanduk lang masih mempunyai masa depan yang cerah – bukan hanya untuk hasil segar, malah sebagai produk berasaskan nilai tambah yang tinggi.