Wednesday, January 28, 2015

"DEAD-IN-SHELL" PADA TELUR YANG DIERAM

 
   Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada para follower blog saya yang tidak seberapa ini.  Akhir-akhir ini saya berkesempatan untuk update blog dengan lebih kerap memandangkan jawatan pun sudah berubah, lebih banyak masa untuk family dan hobi.  Semuanya setelah 2 tahun berhempas pulas menjalankan tanggungjawab yang diberikan oleh pihak pengurusan. Alhamdulillah.  Jadi dengan kesempatan yang diberikan oleh Allah ini, saya cuba sedaya upaya back on track berkongsi ilmu dengan tuan/puan dalam perihal ternakan unggas.
 Kali ini dengan tajuk yang sangat jarang dirungkaikan.  Kebanyakan tajuk membincangkan prosedur menggunakan incubator dengan cara yang betul tetapi jika telur masih gagal menetas walaupun terbukti embrio berkembang pada mulanya, apakah punca yang dapat dikenalpasti dan perlu diatasi oleh kita?  Ayuh kita bincangkan bersama dalam tulisan saya pada kali ini. 
  Pertama sekali biarlah saya jelaskan apakah maksud "Dead-In-Shell" ini.  Istilah ini digunakan para penternak unggas dalam memberi nama kepada kejadian embrio mati di dalam telur tanpa sempat menetas samada ia telah menebuk mahupun tidak.
   Kebanyakan kes "Dead-In-Shell" berlaku dalam masa 3 hari pertama eraman ataupun selepas 3 hari akhir eraman.  Namun begitu tidak dinafikan terdapat kes-kes selain masa itu yang mana embrio mati pada bila-bila masa sepanjang tempoh eraman.  Apapun puncanya, Allah mahu manusia berusaha mengkaji, memahami dan memperbaikinya, In sha Allah.
  Sejak 1996 saya mula membina inkubator dan menjalankan penetasan sendiri, pelbagai cabaran yang saya tempuhi.  Dengan ilmu yang cetek, banyak telur-telur yang dibuang begitu sahaja sepanjang tempoh pengeraman.  Sedikit demi sedikit ilmu bertambah dan praktikal pun mula berkembang.  Inkubator dinaiktaraf dari masa ke semasa bagi mendapatkan peratusan penetasan yang paling tinggi.  Saya cuba untuk 100% jadi jika dapat, 90% dah kira tinggi bagi sebuah inkubator.  Alhamdulillah inkubator saya dengan jagaan yang sempurna pernah mencapai 100% beberapa kali dalam setahun.  Pelbagai faktor mempengaruhi yang mana perlu kita bincangkan sekarang!!
 Berikut adalah sebab-sebab biasa yang menjadikan "Dead-In-Shell" sebagai realiti:
 
 1. Kelemahan rekabentuk dan larasan incubator
 
     Sebuah incubator perlu memenuhi 4 perkara asas iaitu :
     a. julat suhu yang sesuai
       Kesilapan yang paling kerap dilakukan oleh pembuat dan  penjaga incubator adalah mengukur suhu bukan pada permukaan atas kulit telur.  Tidak dibafikan anda boleh mamsang sensor termostat atau thermometer tergantung ditengah incubator namun semasa membuat kalibrasi, perlu diingat bahawa sensor "wajib" diletakkan dan suhu dibaca betul-betul di atas permukaan kulit telur.  Dengan kata lain, sensor perlu diletakkan di atas kulit telur.  Bukan diudara!  Ini adalah bagi memberikan bacaan yang tepat berkenaan nilai suhu sebenar yang diterima oleh embrio dalam telur.  Udara adalah penebat haba yang paling baik, jadi tidak hairanlah  perbezaan suhu yang ketara akan diperolehi jika posisi sensor berbeza walaupun hanya seinci!  Julat suhu juga memainkan peranan penting, apabila "suhu atas" sebenar telah diperolehi, "suhu bawah" perlu diset pada termostat dengan tepat.  Seeloknya 0.5 - 1 darjah Celcius sahaja.  Contohnya menjadikan "suhu atas" 38 dan "suhu bawah" 37 atau 37.5.  Julat suhu yang kecil mengebabkan embrio sempat bertenang dan sekiranya berlaku kegagalan termostat, julat suhu inilah yang akan menyelamatkan embrio.  Tolong jangan setkan termostat tanpa julat suhu, contohnya "suhu atas" 38 dan "suhu bawah" juga 38, bukan sahaja embrio menjadi gila malah life span termostat dan perkakas lain incubator juga menjadi pendek.

 
 b. julat kelembapan yang sesuai
   Kelembapan paling sukar dilaras kerana wap air yang terhasil dalam udara sukar dihapus dan dijana dalam masa singkat, tidak sama seperti haba.  Oleh itu hygrometer perlulah dipasang untuk pemantauan yang berpanjangan.  Elakkan hanya bergantung kepada teori dalam internet dan bahan bacaan sahaja.  Malah jika anda seorang pembuat incubator, amalkan kajian sendiri berkaitan incubator ciptaan anda, kaedah "try and error" atau istilah lebih baik, "cuba jaya" sangat diperlukan dalam hal ini.  Kelembapan diperlukan bagi memastikan embrio sentiasa berkembang dalam persekitaran normal kerana apabila haba dijana di dalam incubator, kelembapan normal dari persekitaran luar tidak dapat masuk ke dalam incubator, seolah-olah incubator mencipta dunianya yang tersendiri.  Jadi kita "wajib" memberikan ia kelembapan buatan dengan menyediakan takungan air yang terdedah bagi membolehkan peratusan kelembapan mencecah antara 65-75% dan ini bergantung pula kepada umur telur yang dieram.  Sangat subjektif dan memeningkan kepala jika anda adalah orang baru dalam bidang ini.  Tetapi percayalah, saya juga telah alami perkara ini beberapa belas tahun lepas, ditambah lagi tiada pakar rujuk untuk dijadikan mentor di kawasan sekitar saya.  Kelebapan yang tidak mencukupi menyebabkan membrane kulit telur menjadi liat dan anak ayam tidak dapat memecahkannya walaupun dari dalam.
 
 c. jumlah putaran yang sesuai
   Kenapa telur perlu diputar?  Sangat penting sebenarnya (semua yang saya bincangkan di sini adalah penting sebenarnya :)), ibu ayam sendiri memutarkan telurnya tetapi tidak pula sampai mengukur berapa darjah setiap kali membuat putaran!  Tujuan memutarkan telur adalah untuk memastikan embrio tidak melekat kepada membrane telur dan seterusnya mati.  Embrio adalah anak ayam yang belum menetas, jadi sama seperti anak ayam, ia tertarik kepada punca haba.  Ia cenderung untuk 'berenang' merapati kulit telur dan akhirnya secara tidak sengaja melekat pada membrane dan mati.  Sangat menyedihkan dan merugikan.  Putaran telur terbaik adalah yang paling kerap tetapi dengan gerakan yang sedikit, cukuplah dengan hanya 10-30 darjah.  Sekadar mengubah posisi tumpuan embrio pada haba yang baisanya dibekalkan dari bahagian atas incubator.  Putaran perlu dihentikan pada 3 hari terakhir eraman iaiatu pada hari ke-18 pada eraman telur ayam yang tempoh eram total adalah 21 hari.  Kenapa?  Bayangkan diri kita di dalam telur tersebut dan hari ke 18 adalah hari di mana kita telah sedia untuk menebuk dan keluar, kita akan berusaha mencari punca haba dan tebuk bahagian itu dahulu (Allah dah jadikan naluri anak ayam macam tu sbb punca haba jika eraman induk ayam sendiri juga dari atas).  Jika kita tetap alihkan telur makan anak ayam terpaksa berpusing di dalam telur untuk mengubah kedudukan, jika 5-6 kali terpaksa mengubah kedudukan, anak ayam akan menjadi letih dan tidak sempat keluar dan mati lemas.  Setelah bersedia untuk menebuk, anak ayam cuma ada beberapa jam sahaja untuk tebuk kulit telur dan hirup udara luar kerana udara dalam telur hanya cukup untuk embrio, bukan untuk anak ayam lengkap.  Liang udara telur tidak dapat menyerap udara yang cukup untuk anak ayam yang keletihan mencari posisi menebuk yang sepatutnya.
 
 d. tahap kebersihan yang terbaik
    Kebersihan mmg diwajibkan dalam Islam.  Merangkumi semuanya.  Kerana kebersihan menyihatkan dan dalam kes pengeraman, ia menyelamatkan nyawa!  Bagaimana? Persekitaran yang kotor dan tidak bersih, penuh dengan bakteria dan virus yang membiak sangat menyumbang kepada kematian embrio di dalam telur.    Tidak ramai yang sedar kerana mereka telah membersihkan incubator dengan baik.  Sebenarnya membersih sahaja tidak cukup kerana masih lagi terdapat bakteria dan virus berkeliaran mencari perumah (iaitu telur ayam/embrio).  Bakteria dan virus boleh masuk ke dalam telur melalui liang udara di kulit telur yang telah tercemar.  Seterusnya menjangkiti embrio dan menyebabkan ia lemah dan tidak dapat keluar dari kulit telur kerana tidak cukup tenaga akibat sakit.  Kerap juga kita lihat anak ayam yang Berjaya tetas masih lagi mati akibat daripada kesan jangkitan sedari dalam kulit telur padahal adik beradiknya yang lain kekal sihat sehingga besar.  Embrio yang terjangkit akan menyebabkan kesukaran semasa penetasan, ada yang belum sempat menebuk tetapi sudah mati, ada yang telah menebuk tetapi jug amati dan ada juga yang telah Berjaya kelauar namun tetap mati kesan jangkitan tadi. Jadi bagaimana untuk memastikan incubator anda bersih dan terhindar dari jangkitan bakteria ataupun virus? Setiap penyakit ada ubatnya.  Setiap masalah ada jalan penyelesaiannya.  Seperti apa yang kita tahu, Allah jadikan alam dengan sangat seimbang.  Bakteria dan virus dapat dihapuskan dengan sinaran UV.  Sinaran UV mmg diketahui terdapat dalam sinar semulajadi matahari.  Mendedahkan incubator dan perkakasannya  selama 1 jam di bawah sinaran terik cahaya matahari akan membunuh semua bakteria dan virus.  In sha Allah.  Proses dedahan ini ini perlu dijalankan setiap kali incubator dicuci bagi menjamin kejadian "dead-in-shell".
 
 2. Kekurangan nutrien dalam telur
 
    Ramai yang tidak peduli dengan kuantiti dan kualiti nutrien yang terdapat dalam telur yang ingin mereka eram.  Akibatnya, telur gagal menetas dengan sempurna.  Pemberian nutrien yang cukup dalam gizi para induk ayam sangat diperlukan.  Terutamanya jika ayam tersebut dipelihara secara sistem kurungan yang mana pemberian makanan adalah hanya berhgantung kepada makanan yang diberikan tanpa makanan tambahan yang boleh ayam tersebut cari sendiri.  Mungkin dedak yang kita berikan adalah dedak terbaik dan mengandungi semua vitamin dan nutrien.  Namun begitu, setiap baka dan keturunan ayam memerlukan kuantiti vitamin yang berbeza walaupun jenis vitamin yang sama.  Oleh itu, kita perlu membuat kajian sendiri terhadap baka yang kita pelihara untuk mengetahui kekuatan dan kelemahan baka tersebut bagi membolehkan kita meningkatkan mutu penetasan telurnya.  PREMIX atau ADDITIVE makanan yang bersesuai perlu diberikan mengikut tujuan ayam dipelihara contohnya PREMIX PEMBAKA perlu diberikan dalam kes ini kerana induk ayam akan mengeluarkan telur yang bakal dieram untuk tujuan penetasan. Antara vitamin dan nutrien yang diperlukan untuk mengelakkan "dead-in-shell" adalah seperti vitamin A, vitamin D, vitamin E, thiamin, riboflavin (vitamin B2), niacin, biotin, panthothenic acid, pyridoxine, folic acid, vitamin B12, manganese, zinc, iodine dan iron.  Setiap vitamin dan nutrien tersebut mempunyai fungsi masing-masing dalam mengekalkan kesihatan dan daya hidup embrio sehingga menetas dan semuanya terkandung dalam PREMIX PEMBAKA, cuma perlu campurkan dengan dedak.  Dan sekiranya anda menghadapi kesukaran dalam mencari PREMIX PEMBAKA ini, anda juga bolehlah gunakan dedak keluaran GOLDCOIN kod 107 iaitu khas untuk pembaka.
 
 3. Kesilapan semasa menyimpan telur untuk eraman
 
    Kaedah penyimpanan telur ayam sebelum pengeraman juga dalah tidak kurang pentingnya. Walaupun belum dimasukkan ke dalam incubator, putaran telur perlu juga dilakukan sekurang-kurangnya sekali dalam sehari.  Ini dilakukan atas alasan yang sama iaitu mengelakkan germ dics (pemula embrio)  melekat pada membran telur.  Disamping itu, telur juga perlu disimpan pada suhu dan kelembapan bilik, bukan dalam plastic atau peti sejuk.  Ini kerana telur juga bernafas dan menyimpannya di dalam plastic akan menyebabkan ia lemas akibat wap air terlalu banyak dan oksigen yang tidak cukup.  Menyimpan di dalam peti sejuk tidak membunuh emrio tetapi akan menyebabkan telur terhidrat atau kehilangan air, jadi setiap telur yang dikeluarkan dari peti sejuk perlu direhatkan pada udara biasa bagi mengembalikan semula kandungan air dalam telur. 
      Sentiasa menyimpan telur dalam keadaan baring (seperti semulajadi dalam sarang ayam) atau menegak dengan hujung yang tajam ke bawah.  Ini mengelakkan ruang udara dalam telur pecah dan rosak.  Elakkan menyimpan dalam kain atau berlapik sesuatu bahan yang boleh menyimpan lembapan kerana bakteria akan membiak di sini.  Elakkan juga dari sentiasa memegang telur dengan tangan kosong tanpa lapik kerana tangan kita mempunyai enzim dan kuman yang memudaratkan kulit telur iaitu memusnahkan lapisan perlindungan kulit telur dari kuman.  Kegagalan menyimpan telur dengan baik akan meyumbang kepada kematian embrio pada peringkat awal eraman.
 
  4. Kulit telur yang terlalu tebal
 
    Pernahkan kita lihat dan pecahkan telur ayam kampong, telur ayam telur, telur ayam belanda, telur itik dan telur ayam mutiara?  Kita dapat perhatikan bahawa ketebalan kulit setiap jenis telur tersebut adalah berbeza.  Walaupun sazinya lebih kurang sama.  Telur ayam kampong contohnya, mempunyai kulit yang lebih nipis berbanding kulit telur ayam mutiara walaupun saiznya adalah sama.  Terapat beberapa factor yang menjadi penyebabnya.  Antaranya adalah, baka ayam mutiara lebih liar, ganas dan kasar berbanding ayam kampong.  Jadi ia memerlukan kulit telur yang tebal dan kuat bagi mengelakkan ia pecah semasa induk ayam mutiara masuk ke sarang dan mengeram telurnya.  Oleh kerana anak ayam mutiara juga kuat, maka tidak menjadi masalah besar baginya untuk memecahkan kulit telur tersebut dari dalam.  Bagi ayam kampong, ia kurang kasar (walaupun ada kes terpencil kekasaran berlaku).  Jadi anak ayam hanya mampu keluar sekiranya kulit telur tidak terlalu tebal.  Bayangkan jika anak ayam kampong diletakkan dalam kulit telur ayam mutiara.  Memang saya yakin, ia akan syahid di dalam tu!  :)  Itulah yang akan terjadi sekiranya induk diberikan kalsium yang berlebihan dan kalsium tersebut pula disalurkan secara berlebihan bagi membina kulit telur.  Bagaimana memastikan induk menerima bekalan kalsium yang cukup?  Pemerhatian adalah penting.  Sila perhatikan batch pertama telur yang dieram, sekiranya peratusan anak ayam yang berjaya menebuk serentak tinggi maka kulit telur adalah normal.  Di samping itu juga, kaedah candling juga dapat melihat ketebalan setiap kulit telur.  Balikkan cahaya yang terang (tidak terlalu terang) memberi maksud bahawa ketebalan adalah normal, manakala untuk balikan yang lebih gelap, kadar kalsium terlalu tinggi ( kaedah perbandingan ini hanya sesuai untuk semua telur dari induk yang sama).
 
   Wah! Tajuk kali ini panjang lebar, maklumlah lama tak menulis.  Walau apapun harap saya dan tuan-tuan dapat sedikit ilmu daripada hasil tulisan saya kali ini.  Dan yang paling penting, semua ilmu yang ada pada kita diberkati oleh Allah S.W.T.
 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.