Salam semua, terima kasih
kepada para pelawat yang masih sudi membaca blog saya ini. Kali ini saya ingin menulis berkaitan AYAM
ORGANIK. Ya, ayam organik. Satu istilah yang besar dan dalam maknanya
tetapi disebabkan beberapa keadaan para pengguna menjadi keliru tentang apa itu
ayam organic. Saya rasa terpanggil untuk
menulis tentang hal ini sebagai salah satu rujukan kepada rakan-rakan pengguna
dan penternak yang masih mencari kebenaran.
Kata nama ayam organik adalah
sebenarnya ditakrifkan sebagai apa-apa jenis ayam yang sesuai diternak dengan
menggunakan makanan organik yang bebas Genetically Modified Organsm(GMO) dan
racun kimia, ubatan bebas kimia sintetik dan kaedah menternak yang telah
digariskan oleh JPV. Jika dilihat pada takrifan ini, jelas sekali bahawa ayam organic
bukanlah sejenis baka, tetapi adalah kaedah ianya diternak. Bermakna ayam pedaging sekalipun boleh
dijadikan ayam organic. Begitu juga ayam
hutan, ayam kampung kacuk, ayam kampung
asli, ayam penelur, ayam serama dan sebagainya.
Seterusnya saya akan ulas lebih lanjut tentang apakah syarat-syarat yang
telah digariskan bagi memastikan ayam mendapat status organic dari JPV
Malaysia.
Bagi menghasilkan ayam organik,
anak ayam yang diperolehi tidak wajib dari sumber yang organic. Bermaksud sebarang jenis anak ayam dari
apa-apa sumber boleh digunakan selagi umurnya adalah kurang dari 3 hari (masih dikenali
sebagai Day Old Chick-DOC) dan bebas penyakit berjangkit.
Contoh syarikat yang mendapat pengiktirafan
myOrganic pada ayam mereka.
Perumahan Ayam
Bagi memastikan sijil organic diperolehi,
ladang yang digunakan untuk membesarkan ayam mestilah berdaftar dengan
JPV. Ayam boleh diperlihara samada secara
kaedah lepas bebas, separa bebas atau berkurung dalam reban sepenuhnya. Bagi ayam lepas bebas, kawasan yang
diperuntukan perlulah sesuai dan cukup makanan supaya tidak menyebabkan
perubahan gizi dan zat dalam tumbuhan dan tanah kawasan tersebut. Bagi kaedah reban terkurung sepenuhnya pula,
susunatur reban mestilah membolehkan ayam mudah mendapatkan makanan dan minuman
dari bekas-bekas yang tersedia. Selain
itu, tahap haba, peredaran udara, pencahayaan, kehadiran debu, kelembapan dan
keadaan persekitaran perlulah dipantau supaya tidak membawa kesan negatif kepada
ayam. JPV juga memberi kelonggaran tanpa
menyebut saiz ruang yang wajib disediakan per ekor ayam di dalam garis
panduannya, namun begitu seperti yang kita tahu, minima saiz lantai per ekor
ayam adalah 1sqf. Jika dapat lebih, itu
lebih bagus. Ini sesuai dengan kenyataan
JPV iaitu supaya ayam-ayam tersebut dapat berdiri, berjalan, duduk dan bergerak
secara selesa dalam reban tersebut, dalam erti kata lain, ayam dapat melakukan
perangai ayamnya secara total tanpa sekatan.
Sebarang pembasmian kuman yang dibuat juga mestilah menggunakan bahan
yang dibenarkan untuk digunakan dalam perladangan organic dan tidak
meninggalkan kesan ke atas produk organic tersebut.
Pengurusan Ladang
Ayam-ayam hendaklah diurus
dengan penuh perikemanusiaan dan dilayan sebagai makhluk hidup. Pemotongan paruh adalah tidak dibenarkan sama
sekali. Keadaan reban adalah di dalam
suasana paling kurang stress dan mempunyai pengudaraan yang baik.
Nutrisi
Formulasi makanan hendaklah
diberikan secara optima dari segi protein, tenaga, mineral dan vitamin mengikut
tahap tumbesaran dan umur ayam. Bahan
makanan hendaklah bersumber dari bahan organic termasuk dari tumbuhan atau
haiwan yang mana ia bebas dari racun makhluk perosak atau GMO. JPV mengesyorkan makanan tersebut diperolehi
dari kilang pemprosesan makanan yang mendapat pengesahan organic dari JPV. Ini kerana bukan sahaja bahan-bahan utama
sahaja yang perlu mendapat kelulusan organic dari JPV, namun begitu bahan
tambahan dalam makanan ayam seperti bahan pengikat, penstabil, anti-oksidan,
pengawet, ejen pewarna dan penambah selera juga perlu mendapat status organic sebelum
ianya digunakan. Sebarang antibiotik
memang sangat dilarang tetapi pengilang boleh menggantikannya dengan probiotik,
enzim dan micro-organisma cthnya EM.
Pengurusan Kesihatan
Dalam perladangan ayam organic,
pencegahan penyakit dimulai sedari pemilihan baka dan susur galur ayam
lagi. Anak-anak ayam yang dipilih adalah
dari keturunan yang sihat dan cukup matang serta kuat. Jelas mereka bukan dari hasil inbreeding
(inbreeding mempunyai banyak kesan negative terhadap kesihatan ayam). Selain itu, kaedah pengurusan yang teratur
juga menyumbang kepada tahap kesihatan yang tinggi. Kawalan biosekuriti ladang adalah penting di
mana kawalan keluar masuk staf dan pembekal adalah diberi perhatian sepenuhnya. Jika rawatan diperlukan, maka hanya ubatan
yang berupa vitamin organic, probiotik dan phytobiotik sahaja yang dibenarkan. Sebarang antibiotic adalah dilarang.
Penyembelihan
Semua ayam perlu disembelih di
pusat penyembelihan berlesen. Ayam perlu
disahkan sihat oleh JPV sebelum disembelih.
Seperti biasa, ayam perlu disembelih dalam keadaan stress yang minima.
Penyimpanan
Produk organic hendaklah
sentiasa disimpan dalam keadaan yang baik tanpa mengubah sifat rupa dan
rasanya. Ia juga perlu disimpan secara
berasingan dari produk yang sama jenis tetapi tiada status organic.
Baiklah, demikian perihal
tentang penghasilan ayam organic mengikut garis panduan yang diberikan oleh JPV
dalam dokumen garis panduan yang dikeluarkan pada 2014. Betapa ketatnya syarat yang dikenakan, namun
begitu terdapat beberapa syarikat yang mampu memenuhi syarat-syarat tersebut
dan berjaya mendapat sijil MyOrganic dari JPV.
TAHNIAH!
KEKELIRUAN
Perkara ini terjadi ada 2 cara
:
1.
Penipuan
Terdapat
penternak yang secara haram melabel ayam mereka sebagai ayam organic tanpa
mendapat kelulusan dari pihak JPV.
Tindakan ini adalah sangat tidak saya sokong kerana mereka ingin mengaut
keuntungan melalui tipu daya. Kita boleh
membuat laporan kepada KPDNKK jika bertemu dengan isu begini. Kerana penipuan sebegini akan merosakkan industri
ternakan ayam di Malaysia.
2.
Kebiasaan panggilan di negeri-negeri tertentu
Di
negeri-negeri Pantai Timur seperti Kelantan dan Terengganu, ayam kampung kacuk
dikenali sebagai ayam organic. Jadi
tidak hairanlah mereka kerapkali berjual beli ayam organic di sana. Isu timbul bila mereka mula menjual ayam
kampung kacuk ke pasaran luar Pantai Timur, istilah ayam organic telah
disalah erti oleh orang luar Pantai
Timur menyebabkan sedikit salah faham dan mencetus tuduh menuduh bahawa mereka
ingin ditipu. Padahal hanya salah faham
akibat berbeza bahasa dan istilah. Bagi
sesiapa yang membaca artikel saya ini mohon selepas ini fahamlah jika berbual
dengan orang-orang Kelantan atau Terengganu, mohon faham bahawa masih ada lagi
di antara mereka menggunakan istilah ayam kampung kacuk sebagai ayam organic
kerana mereka menganggap ianya adalah sejenis baka, bukannya kaedah menternak
dan sudah menjadi satu trademark di kalangan mereka. Tiada salah dipihak mereka
dan kita, cuma bila kita masuk kandang kambing perlulah mengembek.
Sekian dulu coretan saya pada kali ini, diharap sedikit sebanyak menjadi panduan kepada para pembaca semua. Terima kasih.