Tuesday, September 15, 2020

KABIR SI AYAM ISRAEL

    Assalamualaikum dan salam sejahtera.  Bersua lagi kita dengan topik baru iaitu berkaitan perihal ayam. Kali ini saya suka untuk menulis tentang ayam KABIR keluaran syarikat dari Israel. Insya Allah saya cuba tulis tentang apa yang sering ingin diketahui oleh para penternak ayam di Malaysia tentang baka ini.

    KABIR bermaksud ‘besar’. Jadi di Israel apa sahaja yang besar mereka panggil kabir. Dalam hal ayam, mereka mengusahakan ‘ayam besar’ atau ‘dijaj kabir’. Genetik ayam KABIR mula dikembangkan oleh Zvi Katz iaitu presiden syarikat Kabir Chicks Ltd sekitar tahun 1960-an. Namun begitu pada tahun 2006 hibrid tersebut telah dimiliki oleh syarikat Avizoo dari Itali.

    Di Malaysia parent stock ayam Kabir diimport sejak sebelum 2006 lagi dan kebanyakannya adalah dari jenis Red Kabir. Red Kabir digunakan kerana ada perbezaan warna bulu berbanding SASSO. Ini membolehkan ayam antara dua syarikat ini dibezakan dan kajian berterusan dapat dibuat di Malaysia. Sejak Red Kabir masuk ke Malaysia, kita dapat lihat warna bulu adalah jelas berbeza berbanding SASSO, namun begitu setelah berbelas tahun di Malaysia, warna bulu tidak lagi relevan untuk dibezakan kerana ada beberapa syarikat yang mengeluarkan F1 Kabir dan SASSO telah membiak silang antara kedua-dua baka ini bagi menghasilkan satu hibrid baru sebagai tindakan bertujuan menaiktaraf genetik untuk imun tubuh dan sebagainya.

    Kehadiran ayam Kabir di Malaysia adalah berseiring dengan SASSO. Maka tidak hairanlah jika sekitar penghujung tahun 80-an dahulu kita dapat lihat demam ayam gajah di kalangan penternak di kampung-kampung. Terdapat tokey-tokey anak ayam menjual anak ayam gajah (Kabir dan SASSO) sambal mempamerkan versi dewasa ayam-ayam ini untuk membuktikan kehebatan saiz mereka. Sejak itulah ayam Kabir dikenali di kalangan penduduk kampung khususnya di Utara sebagai ayam Israel dan di Pantai Timur sebagai ayam Sroel. Ada juga yang pukul rata menggelarkan sebagai ayam gajah kerana saiznya yang besar itu.

    Sepertimana ayam SASSO, ayam Kabir juga terkenal dengan kadar tumbesaran yang cepat dan saiz matang yang hebat. Dan sama seperti SASSO, Kabir mempunyai induk parent stock yang bertubuh kecil dikenali sebagai Female Kabir yang sangat menjimatkan kos makanan dan ruang di samping sifatnya yang resesif di mana menurunkan hanya genetik pembaka kepada anak-anak yang bakal menetas.

    Berikut adalah sedikit foto dan maklumat berkaitan induk dan pembaka parent stock Kabir yang dapat saya paparkan mengikut apa yang dikeluarkan oleh Avizoo Itali ketika artikel ini ditulis.

 

 






   

 Ayam KABIR F1 milik saya berumur 6 bulan ketika ditimbang.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.