Saturday, September 5, 2020

 

PERIHAL BENTUK MAKANAN AYAM







Pada masa kini terdapat 3 pengkelasan dari segi bentuk makanan/dedak ayam komersil.  Bentuk-bentuk tersebut adalah :

1. serbuk (mash)

2. butiran halus (crumble)

3. butiran kasar (pellet)

Setiap bentuk mempunyai fungsi yang berbeza dan ada sebab kenapa pengilang gunakan setiap bentuk pada setiap dedak yang berbeza.

Serbuk (Mash)

Biasanya dedak ayam penelur menggunakan bentuk ini. Di samping menjimatkan kos penggunaan mesin (tidak perlu melalui proses pelletizing atau crumbling), bentuk ini juga dapat menjimatkan kos bahan mentah kerana apabila tidak perlu dipelletkan, maka bahan pelekat tidak perlu dimasukkan ke dalam campuran dedak.  Selain itu, kadar kalsium yang agak tinggi dalam dedak penelur juga menyukarkan campuran untuk dipelletkan.  Tidak dinafikan ayam agak sukar untuk mematuk dan menelan jika diberikan buat kali pertama, namun begitu jika terbiasa, ia bukanlah sesuatu yang sukar dana yam penelur tidak perlukan makanan yang banyak kerana genetiknya bukan untuk membina daging, hanya sebiji telur per hari.

Di Malaysia terdapat juga dedak anak ayam yang dikeluarkan dalam bentuk serbuk atau mash ini.  Dedak tersebut diberikan kepada anak ayam yang berumur 1-5 hari bagi membolehkan anak ayam dapat makan untuk kali pertama bagi mengelakkan anak ayam sukar menelan dedak jenis butiran kecil (crumble).

Butiran halus (Crumble)

Crumble dihasilkan dengan cara memecahkan dedak yang telah dipelletkan (butiran kasar) menggunakan mesin crumbler. Kos sudah tentu meningkat walaupun ada kebaikan lain contohnya dedak ini lebih padat dan seimbang berbanding jenis mash. Walaupun ia tidak sepadat dedak berbentuk pellet, namun begitu ia sangat sesuai untuk anak ayam jenis pedaging seperti pedaging putih atau berwarna. Anak ayam pedaging berumur kurang dari 3 minggu sangat sesuai menggunakan bentuk ini kerana mudah dipatuk dan ditelan. Di Malaysia dedak crumble anak ayam biasanya diadun supaya memiliki lebih kandungan crude protein (biasanya antara 20-24%) bagi memastikan anak ayam membesar dengan sihat dan selesa.  Ini adalah memandangkan anak ayam selalu menggunakan tenaga untuk melompat dan sebagainya. Namun begitu, protein yang tinggi adalah tidak sesuai untuk ayam pedaging dewasa yang tidak lagi melompat dan bermain di mana protein yang berlebihan ini akan berkumpul tidak digunakan dan merosakkan hati.

Butiran kasar (Pellet)

Kelebihan pellet adalah, sekali patukan bermakna ayam mendapat satu ramuan penuh campuran makanan yang wajib ayam dapat, sangat seimbang. Di dalam sebiji pellet akan wajib mempunyai semua bahan yang penternak ingin ayamnya makan.  Dan dalam bentuk sangat padat, bermakna ayam dapat lebih dalam setiap patukan yang kecil serta tiada peluang memilih samada jagung sahaja, gandum sahaja atau bahan-bahan lain.  Pellet adalah satu kejayaan paling hebat dalam pengeluaran makanan ternakan unggas. Walaupun kos mesin pelletizing terpaksa digunakan, akan tetapi ia dapat mengelak dari meggunakan mesin crumbler. Dan walaupun crude proteinnya rendah (18-19%) berbanding dedak halus crumble, namun objektifnya tercapai dengan baik sekali iaitu memastikan ayam mendapat nutrient yang optimum pada setiap patukan.  Hebatkan??

Apa yang saya ceritakan di sini adalah norma apa yang terjadi dan difahami di Malaysia,terdapat juga negara yang menggunakan bentuk berbeza untuk tujuan yang juga berbeza berbanding di negara kita Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.