Monday, September 14, 2020

PERIHAL AYAM SASSO

      Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada para pelawat blog saya yang tidak seberapa ini.

      Kali ini saya akan menulis berkaitan ayam SASSO.  Apa sebenarnya ayam SASSO? Kenapa ia dibawa masuk ke Malaysia? Kenapa ianya mendapat permintaan hangat pada masa sekarang? Semuanya akan saya huraikan di dalam tulisan saya kali ini.

      SASSO sebenarnya adalah nama sebuah syarikat pengeluar baka ayam yang beroperasi di Perancis (France).  SASSO adalah dari singkatan "Sélection Avicole de la Sarthe et du Sud Ouest" yang membawa maksud "Poultry Selection from Sarthe and South West".  Sarthe dan South West adalah nama lokasi di Perancis.  Ini membawa maksud ayam-ayam yang dikeluarkan oleh  SASSO adalah ayam-ayam yang bakanya dipilih dari 2 kawasan tersebut dan disatukan lalu dijalankan kajian genetik sehinggalah menghasilkan beberapa jenis ayam hibrid yang mencapai tujuan yang dikehendaki oleh mereka.  SASSO mula beroperasi lewat tahun 1960-an lagi.  Bayangkan hasil mereka setelah kajian selama hampir 60 tahun dalam bidang genetik ayam, sudah semestinya hebat.  Fokus SASSO adalah mengeluarkan beberapa hibrid ayam yang digunakan untuk tujuan pedaging namun menyediakan alternatif kepada ayam pedaging moden. Ini bermaksud, SASSO menghasilkan ayam pedaging yang mempunyai kadar pertumbuhan yang perlahan jika dibandingkan dengan ayam pedaging komersil seperti hibrid Ross and Cobb (ayam pedaging bulu putih biasa). Apa keperluan mengeluarkan hibrid ini? Sejak kehadiran ayam pedaging bulu putih sekitar tahun 1950-an, para penduduk dunia dihidangkan dengan masakan dari ayam pedaging yang berusia 40 hari (anak ayam), dengan kualiti daging yang terlalu muda itu, agak kurang rasa ayam sebenar dapat dinikmati.  Para penggemar ayam masih mencari kualiti daging yang lebih bagus, di sinilah SASSO mengambil peluangnya.  Dengan kepakaran yang ada, SASSO mula mengkaji baka-baka asli yang ada di negara mereka dan mula menghasilkan hibrid yang memenuhi permintaan tersebut.  Hibrid tersebut mestilah tidak terlalu cepat dan tidak terlalu lambat membesar untuk mencapai saiz sembelihan.

     Pada masa artikel ini ditulis, SASSO mempunyai 3 jenis kod induk parent stock (PS) dan 6 jenis kod pembaka seperti berikut.

 

Induk :


Pembaka :

 

     Setiap induk yang dihasilkan mempunyai kelebihan di mana ia mampu menghasilkan anak-anak (F1) hampir 100% mengikut phenotype dan genotype si pembaka.  Contohnya jika pembaka Ruby C (C44) yang bertubuh besar dibiakkan bersama induk SA31A yang bertubuh kecil, maka anak yang terhasil samada jantan atau betina adalah mengikut ciri-ciri pembaka Ruby C (C44) yang akan cepat membesar, bertubuh besar serta warna bulu yang sama (anak-anak ini yang kita kenali sebagai ayam gajah, israel @ sroel).  Kelebihan pada SA31A adalah ia mempunyai genetik resesif di mana tidak akan mempengaruhi kepada genetik anak-anaknya kelak.  Oleh kerana tubuhnya yang kecil, maka SA31A sangat menjimatkan kos makanan dan ruang. Inilah kelebihan yang dihasilkan oleh SASSO yang tiada pada ayam biasa yang kita pelihara sekarang.  Pendek kata jika kita biakkan SA31A dengan ayam cemani yang serba hitam itu, maka anak-anak (F1) yang dikeluarkan juga adalah hitam dan saling tidak tumpah ayam cemani.

Namun begitu, kelemahan F1 adalah ia tidak dapat mengekalkan ciri-ciri yang ada pada dirinya kepada anak-anaknya (F2) di mana anak-anak hasil pembiakan F1 jantan dan F1 betina yang dikenali sebagai F2 tidak lagi membawa genotype dan phenotype F1. 

 Sebagai contoh :

Induk SASSO kod SA31A dibiakkan dengan jantan Cemani akan hasilkan anak-anak jantan dan betina F1 (hitam seakan cemani)

F1 Jantan dibiakkan dengan F1 Betina tadi akan hasilkan anak-anak (F2) yang tidak lagi hitam keseluruhan seperti F1. Akan ada bulu kecoklatan di tubuh F2 kerana membawa semula genetik resesif SA31A yang telah diaktifkan semula.

Di Malaysia, SA31A sangat terkenal dan di bawa masuk untuk dibiakkan bersama ayam kampung lokal seperti apa yang dilakukan oleh pihak MARDI untuk menghasilkan ayam kampung MARDI.  Tidak kurang juga syarikat-syarikat seperti Sin Long Heng, GSM, KAMI Farming dan lain-lain menggunakan SA31A dan dibiakkan dengan ayam jantan lokal yang telah dihibridkan untuk menghasilkan hibrid baru yang diberi nama ayam kampung kacuk.  Terdapat juga syarikat yang masih mengekalkan baka hibrid SASSO dalam keluarannya seperti syarikat Charoen Pokhpand yang membiakkan induk SA31A dengan pembaka C44 dan Ruby N.

Seiring dengan pertumbuhan populasi penduduk di Malaysia, keperluan makanan terutama daging ayam adalah sangat tinggi sehingga Malaysia terpaksa mengimport ayam dari negara jiran.  Malaysia dengan itu berusaha mewujudkan ladang-ladang ayam pedaging komersil denga pesat bagi menampung keperluan tersebut.  Namun begitu, terdapat juga golongan penggemar ayam kampung dan mereka ini kurang memakan ayam pedaging komersil di atas pelbagai alasan samada tentang penggunaan antibiotik, rasa daging sehingga kaedah ternak.  Maka peluang inilah diambil oleh syarikat-syarikat tertentu untuk memperkenalkan baka SASSO di Malaysia.  Sesi perkenalan ini disambut baik oleh golongan penggemar ayam 'slow growth' ini.  Dan sejak itu sampailah ke hari ini permintaan tidak pernah putus.

Walaupun ayam SASSO tergolong dalam kategori ayam pedaging berwarna (colored broiler) dan menjadi isu perdebatan hangat di Malaysia pada maka kini, namun permintaannya tidak pernah surut sejak ia mula dibawa masuk ke Malaysia.  Ia menjadi sumber rezeki kepada pelbagai golongan masyarakat disebabkan harga yang mampu milik dan kitaran tumbesaran yang hebat di samping kualiti daging yang agak baik seiring dengan tumbesarannya.

 

Anak-anak F1 hasil dari induk SA31A dan Ruby C

Sepertimana induk SASSO, para pembaka SASSO juga mempunyai kelebihan tersendiri.  Ruby C contohnya mempunyai stuktur tulang yang besar dan dada yang luas membolehkan daging diisi dengan lebih banyak manakala Thunder mempunyai tubuh yang tinggi dan warna bulu yang menarik. Mamba pula mempunyai bulu hitam keseluruhan dan antara hibrid terbaru daripada SASSO.

 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.