Tuesday, September 15, 2020

KABIR SI AYAM ISRAEL

    Assalamualaikum dan salam sejahtera.  Bersua lagi kita dengan topik baru iaitu berkaitan perihal ayam. Kali ini saya suka untuk menulis tentang ayam KABIR keluaran syarikat dari Israel. Insya Allah saya cuba tulis tentang apa yang sering ingin diketahui oleh para penternak ayam di Malaysia tentang baka ini.

    KABIR bermaksud ‘besar’. Jadi di Israel apa sahaja yang besar mereka panggil kabir. Dalam hal ayam, mereka mengusahakan ‘ayam besar’ atau ‘dijaj kabir’. Genetik ayam KABIR mula dikembangkan oleh Zvi Katz iaitu presiden syarikat Kabir Chicks Ltd sekitar tahun 1960-an. Namun begitu pada tahun 2006 hibrid tersebut telah dimiliki oleh syarikat Avizoo dari Itali.

    Di Malaysia parent stock ayam Kabir diimport sejak sebelum 2006 lagi dan kebanyakannya adalah dari jenis Red Kabir. Red Kabir digunakan kerana ada perbezaan warna bulu berbanding SASSO. Ini membolehkan ayam antara dua syarikat ini dibezakan dan kajian berterusan dapat dibuat di Malaysia. Sejak Red Kabir masuk ke Malaysia, kita dapat lihat warna bulu adalah jelas berbeza berbanding SASSO, namun begitu setelah berbelas tahun di Malaysia, warna bulu tidak lagi relevan untuk dibezakan kerana ada beberapa syarikat yang mengeluarkan F1 Kabir dan SASSO telah membiak silang antara kedua-dua baka ini bagi menghasilkan satu hibrid baru sebagai tindakan bertujuan menaiktaraf genetik untuk imun tubuh dan sebagainya.

    Kehadiran ayam Kabir di Malaysia adalah berseiring dengan SASSO. Maka tidak hairanlah jika sekitar penghujung tahun 80-an dahulu kita dapat lihat demam ayam gajah di kalangan penternak di kampung-kampung. Terdapat tokey-tokey anak ayam menjual anak ayam gajah (Kabir dan SASSO) sambal mempamerkan versi dewasa ayam-ayam ini untuk membuktikan kehebatan saiz mereka. Sejak itulah ayam Kabir dikenali di kalangan penduduk kampung khususnya di Utara sebagai ayam Israel dan di Pantai Timur sebagai ayam Sroel. Ada juga yang pukul rata menggelarkan sebagai ayam gajah kerana saiznya yang besar itu.

    Sepertimana ayam SASSO, ayam Kabir juga terkenal dengan kadar tumbesaran yang cepat dan saiz matang yang hebat. Dan sama seperti SASSO, Kabir mempunyai induk parent stock yang bertubuh kecil dikenali sebagai Female Kabir yang sangat menjimatkan kos makanan dan ruang di samping sifatnya yang resesif di mana menurunkan hanya genetik pembaka kepada anak-anak yang bakal menetas.

    Berikut adalah sedikit foto dan maklumat berkaitan induk dan pembaka parent stock Kabir yang dapat saya paparkan mengikut apa yang dikeluarkan oleh Avizoo Itali ketika artikel ini ditulis.

 

 






   

 Ayam KABIR F1 milik saya berumur 6 bulan ketika ditimbang.

Monday, September 14, 2020

PERIHAL AYAM SASSO

      Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada para pelawat blog saya yang tidak seberapa ini.

      Kali ini saya akan menulis berkaitan ayam SASSO.  Apa sebenarnya ayam SASSO? Kenapa ia dibawa masuk ke Malaysia? Kenapa ianya mendapat permintaan hangat pada masa sekarang? Semuanya akan saya huraikan di dalam tulisan saya kali ini.

      SASSO sebenarnya adalah nama sebuah syarikat pengeluar baka ayam yang beroperasi di Perancis (France).  SASSO adalah dari singkatan "Sélection Avicole de la Sarthe et du Sud Ouest" yang membawa maksud "Poultry Selection from Sarthe and South West".  Sarthe dan South West adalah nama lokasi di Perancis.  Ini membawa maksud ayam-ayam yang dikeluarkan oleh  SASSO adalah ayam-ayam yang bakanya dipilih dari 2 kawasan tersebut dan disatukan lalu dijalankan kajian genetik sehinggalah menghasilkan beberapa jenis ayam hibrid yang mencapai tujuan yang dikehendaki oleh mereka.  SASSO mula beroperasi lewat tahun 1960-an lagi.  Bayangkan hasil mereka setelah kajian selama hampir 60 tahun dalam bidang genetik ayam, sudah semestinya hebat.  Fokus SASSO adalah mengeluarkan beberapa hibrid ayam yang digunakan untuk tujuan pedaging namun menyediakan alternatif kepada ayam pedaging moden. Ini bermaksud, SASSO menghasilkan ayam pedaging yang mempunyai kadar pertumbuhan yang perlahan jika dibandingkan dengan ayam pedaging komersil seperti hibrid Ross and Cobb (ayam pedaging bulu putih biasa). Apa keperluan mengeluarkan hibrid ini? Sejak kehadiran ayam pedaging bulu putih sekitar tahun 1950-an, para penduduk dunia dihidangkan dengan masakan dari ayam pedaging yang berusia 40 hari (anak ayam), dengan kualiti daging yang terlalu muda itu, agak kurang rasa ayam sebenar dapat dinikmati.  Para penggemar ayam masih mencari kualiti daging yang lebih bagus, di sinilah SASSO mengambil peluangnya.  Dengan kepakaran yang ada, SASSO mula mengkaji baka-baka asli yang ada di negara mereka dan mula menghasilkan hibrid yang memenuhi permintaan tersebut.  Hibrid tersebut mestilah tidak terlalu cepat dan tidak terlalu lambat membesar untuk mencapai saiz sembelihan.

     Pada masa artikel ini ditulis, SASSO mempunyai 3 jenis kod induk parent stock (PS) dan 6 jenis kod pembaka seperti berikut.

 

Induk :


Pembaka :

 

     Setiap induk yang dihasilkan mempunyai kelebihan di mana ia mampu menghasilkan anak-anak (F1) hampir 100% mengikut phenotype dan genotype si pembaka.  Contohnya jika pembaka Ruby C (C44) yang bertubuh besar dibiakkan bersama induk SA31A yang bertubuh kecil, maka anak yang terhasil samada jantan atau betina adalah mengikut ciri-ciri pembaka Ruby C (C44) yang akan cepat membesar, bertubuh besar serta warna bulu yang sama (anak-anak ini yang kita kenali sebagai ayam gajah, israel @ sroel).  Kelebihan pada SA31A adalah ia mempunyai genetik resesif di mana tidak akan mempengaruhi kepada genetik anak-anaknya kelak.  Oleh kerana tubuhnya yang kecil, maka SA31A sangat menjimatkan kos makanan dan ruang. Inilah kelebihan yang dihasilkan oleh SASSO yang tiada pada ayam biasa yang kita pelihara sekarang.  Pendek kata jika kita biakkan SA31A dengan ayam cemani yang serba hitam itu, maka anak-anak (F1) yang dikeluarkan juga adalah hitam dan saling tidak tumpah ayam cemani.

Namun begitu, kelemahan F1 adalah ia tidak dapat mengekalkan ciri-ciri yang ada pada dirinya kepada anak-anaknya (F2) di mana anak-anak hasil pembiakan F1 jantan dan F1 betina yang dikenali sebagai F2 tidak lagi membawa genotype dan phenotype F1. 

 Sebagai contoh :

Induk SASSO kod SA31A dibiakkan dengan jantan Cemani akan hasilkan anak-anak jantan dan betina F1 (hitam seakan cemani)

F1 Jantan dibiakkan dengan F1 Betina tadi akan hasilkan anak-anak (F2) yang tidak lagi hitam keseluruhan seperti F1. Akan ada bulu kecoklatan di tubuh F2 kerana membawa semula genetik resesif SA31A yang telah diaktifkan semula.

Di Malaysia, SA31A sangat terkenal dan di bawa masuk untuk dibiakkan bersama ayam kampung lokal seperti apa yang dilakukan oleh pihak MARDI untuk menghasilkan ayam kampung MARDI.  Tidak kurang juga syarikat-syarikat seperti Sin Long Heng, GSM, KAMI Farming dan lain-lain menggunakan SA31A dan dibiakkan dengan ayam jantan lokal yang telah dihibridkan untuk menghasilkan hibrid baru yang diberi nama ayam kampung kacuk.  Terdapat juga syarikat yang masih mengekalkan baka hibrid SASSO dalam keluarannya seperti syarikat Charoen Pokhpand yang membiakkan induk SA31A dengan pembaka C44 dan Ruby N.

Seiring dengan pertumbuhan populasi penduduk di Malaysia, keperluan makanan terutama daging ayam adalah sangat tinggi sehingga Malaysia terpaksa mengimport ayam dari negara jiran.  Malaysia dengan itu berusaha mewujudkan ladang-ladang ayam pedaging komersil denga pesat bagi menampung keperluan tersebut.  Namun begitu, terdapat juga golongan penggemar ayam kampung dan mereka ini kurang memakan ayam pedaging komersil di atas pelbagai alasan samada tentang penggunaan antibiotik, rasa daging sehingga kaedah ternak.  Maka peluang inilah diambil oleh syarikat-syarikat tertentu untuk memperkenalkan baka SASSO di Malaysia.  Sesi perkenalan ini disambut baik oleh golongan penggemar ayam 'slow growth' ini.  Dan sejak itu sampailah ke hari ini permintaan tidak pernah putus.

Walaupun ayam SASSO tergolong dalam kategori ayam pedaging berwarna (colored broiler) dan menjadi isu perdebatan hangat di Malaysia pada maka kini, namun permintaannya tidak pernah surut sejak ia mula dibawa masuk ke Malaysia.  Ia menjadi sumber rezeki kepada pelbagai golongan masyarakat disebabkan harga yang mampu milik dan kitaran tumbesaran yang hebat di samping kualiti daging yang agak baik seiring dengan tumbesarannya.

 

Anak-anak F1 hasil dari induk SA31A dan Ruby C

Sepertimana induk SASSO, para pembaka SASSO juga mempunyai kelebihan tersendiri.  Ruby C contohnya mempunyai stuktur tulang yang besar dan dada yang luas membolehkan daging diisi dengan lebih banyak manakala Thunder mempunyai tubuh yang tinggi dan warna bulu yang menarik. Mamba pula mempunyai bulu hitam keseluruhan dan antara hibrid terbaru daripada SASSO.

 

Saturday, September 5, 2020

 

PERIHAL BENTUK MAKANAN AYAM







Pada masa kini terdapat 3 pengkelasan dari segi bentuk makanan/dedak ayam komersil.  Bentuk-bentuk tersebut adalah :

1. serbuk (mash)

2. butiran halus (crumble)

3. butiran kasar (pellet)

Setiap bentuk mempunyai fungsi yang berbeza dan ada sebab kenapa pengilang gunakan setiap bentuk pada setiap dedak yang berbeza.

Serbuk (Mash)

Biasanya dedak ayam penelur menggunakan bentuk ini. Di samping menjimatkan kos penggunaan mesin (tidak perlu melalui proses pelletizing atau crumbling), bentuk ini juga dapat menjimatkan kos bahan mentah kerana apabila tidak perlu dipelletkan, maka bahan pelekat tidak perlu dimasukkan ke dalam campuran dedak.  Selain itu, kadar kalsium yang agak tinggi dalam dedak penelur juga menyukarkan campuran untuk dipelletkan.  Tidak dinafikan ayam agak sukar untuk mematuk dan menelan jika diberikan buat kali pertama, namun begitu jika terbiasa, ia bukanlah sesuatu yang sukar dana yam penelur tidak perlukan makanan yang banyak kerana genetiknya bukan untuk membina daging, hanya sebiji telur per hari.

Di Malaysia terdapat juga dedak anak ayam yang dikeluarkan dalam bentuk serbuk atau mash ini.  Dedak tersebut diberikan kepada anak ayam yang berumur 1-5 hari bagi membolehkan anak ayam dapat makan untuk kali pertama bagi mengelakkan anak ayam sukar menelan dedak jenis butiran kecil (crumble).

Butiran halus (Crumble)

Crumble dihasilkan dengan cara memecahkan dedak yang telah dipelletkan (butiran kasar) menggunakan mesin crumbler. Kos sudah tentu meningkat walaupun ada kebaikan lain contohnya dedak ini lebih padat dan seimbang berbanding jenis mash. Walaupun ia tidak sepadat dedak berbentuk pellet, namun begitu ia sangat sesuai untuk anak ayam jenis pedaging seperti pedaging putih atau berwarna. Anak ayam pedaging berumur kurang dari 3 minggu sangat sesuai menggunakan bentuk ini kerana mudah dipatuk dan ditelan. Di Malaysia dedak crumble anak ayam biasanya diadun supaya memiliki lebih kandungan crude protein (biasanya antara 20-24%) bagi memastikan anak ayam membesar dengan sihat dan selesa.  Ini adalah memandangkan anak ayam selalu menggunakan tenaga untuk melompat dan sebagainya. Namun begitu, protein yang tinggi adalah tidak sesuai untuk ayam pedaging dewasa yang tidak lagi melompat dan bermain di mana protein yang berlebihan ini akan berkumpul tidak digunakan dan merosakkan hati.

Butiran kasar (Pellet)

Kelebihan pellet adalah, sekali patukan bermakna ayam mendapat satu ramuan penuh campuran makanan yang wajib ayam dapat, sangat seimbang. Di dalam sebiji pellet akan wajib mempunyai semua bahan yang penternak ingin ayamnya makan.  Dan dalam bentuk sangat padat, bermakna ayam dapat lebih dalam setiap patukan yang kecil serta tiada peluang memilih samada jagung sahaja, gandum sahaja atau bahan-bahan lain.  Pellet adalah satu kejayaan paling hebat dalam pengeluaran makanan ternakan unggas. Walaupun kos mesin pelletizing terpaksa digunakan, akan tetapi ia dapat mengelak dari meggunakan mesin crumbler. Dan walaupun crude proteinnya rendah (18-19%) berbanding dedak halus crumble, namun objektifnya tercapai dengan baik sekali iaitu memastikan ayam mendapat nutrient yang optimum pada setiap patukan.  Hebatkan??

Apa yang saya ceritakan di sini adalah norma apa yang terjadi dan difahami di Malaysia,terdapat juga negara yang menggunakan bentuk berbeza untuk tujuan yang juga berbeza berbanding di negara kita Malaysia.

Saturday, April 4, 2020

Infectious Coryza : Penyakit pernafasan ayam.



Assalamualaikum dan dalam sejahtera kepada para penggiat ternakan dan pertanian seantero dunia.  Kali ni saya nak bercerita tentang penyakit ayam. Ya penyakit ayam yang agak tersohor dan femes sepanjang abad 21 ni iaitu penyakit infectious coryza atau coryza atau selsema. 

Antara symptom penyakit ini adalah :

- Selsema 
- Nafas berbunyi 
- Mata berair 
- Bengkak muka
- Mata bengkak 
- Muka pucat 
- Balung jatuh 
- Hidung berair 
- Bersin


Foto 1 : Simptom/gejala mata berair dan berbuih menunjukkan peringkat permulaan jangkitan.
(Foto ihsan fieldcasestudy.com)


Foto 2 : Simptom/gejala bengkak muka menunjukkan bakteria bejaya dalam usahanya.
(Foto ihsan fieldcasestudy.com)


 Foto 3 : Simptom/gejala serius, nanah beku memenuhi kelopak mata dan bakal merosakkan mata.
(Foto ihsan fieldcasestudy.com)


Foto 4 : Muka dibelah untuk melihat keadaan dalaman yang bernanah.
(Foto ihsan fieldcasestudy.com)




*Simptom bermaksud gejala yang ditunjukkan atau yang dapat dilihat pada perilaku atau/dan tubuh ayam yang dijangkiti. Terdapat penyakit-penyakit yang menunjukkan simptom yang serupa tetapi kombinasi simptom akan memudahkan kita untuk mengenalpasti jenis penyakit selain kaedah ujian makmal.

Penyakit ini diakibatkan oleh sejenis bakteria yang dikenali sebagai bacterium haemophilus paragallinarum atau juga dikenali sebagai avibacterium pragallinarum.  Ia merebak melalui wap air pernafasan, makanan dan minuman yang tercemar.  Berlaku apabila ada ayam yang dibawa masuk ke reban tanpa tapisan, kehadiran burung-burung yang sebelumnya makan dan minum dari ladang yang telah dijangkiti, atau... tokey ladang sendiri yang bawa bakteria ke ladangnya dari sisa tapak kasut semasa melawat ladang lain yang ytelah dijangkiti (yang ni naya..)

Serangan dimulakan pada sistem pernafasan ayam, tak hairanlah nafas ayam akan berbunyi dan kadang-kadang bersin, diikuti dengan mata dan hidung berair.  Muka dan mata mula bengkak pada peringkat pertengahan jangkitan. Pada peringkat serius, mata akan mulai bernanah dan nanah mengeras merosakkan bola mata, tubuh menjadi sangat kurus, muka pucat, balung jatuh dan ayam hilang selera makan.  Pada ketika ini, ayam akan nazak di mana tidak lagi mahu makan.  Jika kita tunggu hingga saat ini berlaku, maka peluang untuk merawat adalah sangat tipis.

Coryza bukan sahaja digeruni kerana membunuh ayam (sekitar 50% hilang nyawa), tetapi sebagai seorang penternak untuk tujuan jualan daging, berat ayam yang tiba-tiba menurun adalah juga satu kebimbangan yang tidak kurang hebatnya.  Kerugian menanti di situ.  Manakala kepada para breeder, pengeluaran telur akan terjejas, dan jika adapun keluar telur, kurang kualitinya.  Anak-anak yang bakal tetas tidak secergas sebelumnya dan cepat sakit dan sebagainya. Walaupun diberitakan ayam kampung lebih imun atau lebih kuat daya tahan melawan penyakit ini, namun jika telah mula terjangkit, ia tetap merebak seolah-olah tiada yang dapat menghalang.

Dalam pengalaman saya sendiri, ayam yang dijangkiti coryza pernah hidup hampir 3 bulan dalam keadaan hidup segan mati tak mahu. Maka ia menjadi perumah dan vektor ejen perebak kuman coryza kepada ayam-ayam sihat yang lain.  Sebab itulah saya sarankan tuan-tuan hapuskan dan bakar bangkai ayam-ayam berpenyakit tersebut supaya rantaian penyakit putus terus. Ya memang saya sendiri pernah simpan ayam-ayam berpenyakit ini kerana sayang, namun itu adalah bukan jalan yang bagus. Last-last menyesal tak sudah bila ayam-ayam lain pun terjangkit sama. Padan muka aku haha

Kenapa ayam mudah dijangkiti coryza?  Ya tuan-tuan, sebelum datang coryza kadang-kadang kita dah ternak 3-4 batch tiada apapun yang berlaku, elok je.. ayam gemuk bulat macam bola kadang-kadang salah sepak ingatkan bola.. namun begitu, kalau dah kuantiti dan strain bakteria tu dah tinggi memang tak tahan juga imun tubuh ayam nak melawan.  Bakteria berkeupayaan menyesuaikan diri dan berkembang jumlahnya dengan meningkatkan imun tubuhnya sendiri terhadap persekitaran termasuk antibodi dan antibiotik. Alah bisa tegal biasa katanya.  Dibantu pula oleh kandungan bakteria jahat lain yang telah banyak berumah di dalam tubuh ayam, memang syok la beliau dapat geng.. tubuh dah sedia lemah. Sebab itulah kita guna antibiotic untuk melawan coryza.  Antibiotik dapat membunuh sebahagian bakteria dan membantu antibodi tubuh untuk mempertahankan tubuh ayam daripada berterusan dijangkiti.  Antibiotik seperti amoxicillin, florfenicol, toltrazuril, tetracycline dan banyak lagi antibiotik berspektrum luas boleh digunakan dalam merawat coryza.  Pemberian antibiotic juga disarankan ditambah dengan vitamin (bancuhan ringan) sebagai booster penyembuhan untuk ayam-ayam tersebut.

So apa cara mencegah pula? 
Bagi saya, jika ladang kita memang menjadi tempat yang pernah dijangkiti wabak, maka vaksinlah ayam-ayam kita dengan vaksin yang berkaitan.  Contohnya dalam kes penyakit coryza ini, untuk batch kedua selepas semuanya selesai, amalkan penggunaan vaksin infectious coryza (biasanya jenis injection).  Ya memang makan kos sedikit di sini, tapi pandanglah masa depan, vaksin kos seekor mungkin 50sen, kalau masa-masa ke depan ayam tu mati, lenyap rugi lebih dari itu jadinya. Vaksin dapat membina imun tubuh terhadap jangkitan coryza, namun begitu anda kena faham bahawa bukan semua ayam dapat bertindakbalas kepada vaksin tersebut dengan baik.  Ada di antaranya akan kekal tidak meningkat imunnya. Maka dalam hal ini kita dah berusaha, berdoa dan hanya tinggal bertawakkal.  Sepengalaman saya menggunakan vaksin jenis ini sejak 2014, alhamdulillah hanya kurang 5% ayam-ayam yang mati akibat jangkitan coryza.  Tidaklah ia melarat macam sebelumnya, dah macam orang hilang akal saya dibuatnya. Haha.

Antara ubatan dan vaksin yang pernah dan sering saya gunakan dalam mencegah dan merawat penyakit coryzaa pada ayam-ayam saya adalah :

Vaksin (Untuk mencegah)
OLVAC B+HG
CORI-VAC
HG-Gelvac
HG-Gelvac 3

* saya pilih salah satu sahaja, paling saya suka adalah OLVAC B+HG sebab ada 3 vaksin dah dalam tu iaitu sampar (ND), lelah (IB) dan selsema (coryza)


Antibiotik (Untuk Merawat)
Flor-X : Mengandungi bahan aktif florfenicol
Tilmicox : Mengandungi bahan aktif tilmicosin
Pharmox : Mengandungi bahan aktif amoxicilin
Pamoxyl : Mengandungi bahan aktif amoxicilin

*saya biasanya sering gunakan Flor-X untuk rawatan individu dan Pharmox untuk rawatan berkumpulan.


Vitamin (Untuk membantu dalam proses pemulihan)
Vita Stress
VP1000

*saya paling suka gunakan Vita Stress kerana murah  dan mudah diperolehi ditempat saya, kesannya pun bagus.


Akhir kata mohon ampun dan maaf sekiranya tulisan saya ada yang tidak memberi manfaat kepada tuan/puan.  Saya dari semasa ke semasa cuba untuk merungkai segenap permasalah berkaitan ternakan unggas.  Diharap dengan ilmu yang ada ini dapatlah membantu anda yang baru mula nak berkecimpung dalam dunia ternakan unggas. Aamin.

Sekian.


Monday, July 2, 2018

Ayam Kampung - Sistem Trading Oleh Penternak



Ayam Kampung (AK) mencetus fenomena apabila negara mula mengimport dan menternak ayam pedaging berbulu putih (Broiler Chicken - BC).  Betul, apabila ada saingan barulah AK dihargai.  Saingan yang bagaimana?? Saingan rasa daging, saingan tempoh masa ternak dan saingan harga.  Sebelum adanya BC, AK dipandang biasa-biasa shj.  Namun begitu AK diburu semula apabila pengguna menyedari kualiti yang ada padanya.

Bermula dari ini, para penternak juga memulakan langkah baru dengan menternak AK (samada kacukan atau asli) secara kecilan atau skala besar.  Muncul penternak-penternak baru bagai cendawan.  Tak kurang penternak lama yang meluaskan jajahan dan bilangan ayam ternakan mereka bagi mengambil peluang kepada permintaan yang tidak pernah putus terhadap AK.  Namun begitu, seperti kata pepatah, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul, bukan semua penternak-penternak ini berjaya mengaut keuntungan daripada usaha mereka ini.  Risiko ayam mati, bantut dan berpenyakit membuatkan ada di kalangan mereka gulung tikar awal.  Tempoh tumbesaran AK di antara 2-4 bulan sebelum dijual adalah terlalu lama dan risiko tersebut ditanggung sepenuhnya oleh penternak.  Hanya airmata yang dapat merawat  sebahagian kesedihan dan kekecewaan mereka. Satu cara atau kaedah yang sangat ampuh dalam mengatasi masalah ini adalah kaedah TRADING.  Ya, kaedah yang KURANG berisiko.  Para penternak kurang stress dan mampu menjana pendapatan lebih teratur dan terancang.

Bagaimana ianya berlaku ?
Saya tidak mampu meilih contoh dari syarikat lain. Oleh itu saya ambil contoh apa yang syarikat saya jalankan iaitu Syarikat Anizam Resources dan Syarikat Gemilang Cakaran (Pengeluar Product Ayam Gemilang).  Bagaimana kami membantu penternak dalam usaha memastikan WIN-WIN SITUATION berlaku dan kerjasama berpanjangan.  Contoh seperti berikut diaplikasikan dengan baik sekali :

Pihak yang terlibat :
1. Syarikat : Gemilang Cakaran, Rawang, Selangor
2. Penternak A : En Rosli dari Bangi, Selangor

Oleh kerana ingin mengelakkan risiko, En. Rosli hanya menternak 200 ekor sahaja walaupun beliau mampu memasarkan 2,000 ekor AK hidup dalam sebulan.  Beliau tahu bahawa Syarikat Gemilang Cakaran mampu menyediakan bekalan AK dengan harga rendah dan berkualiti sekiranya beliau membeli secara borong.  Para pelanggan beliau juga tahu bahawa En. Rosli seorang penternak AK yang berkualiti.  Apa yang perlu dilakukan oleh  En. Rosli adalah menggiatkan usaha dan strategi marketing kepada para pelanggannya bahawa beliau mempunyai stok bekalan AK yang berkualiti dan berterusan.  En Rosli mengambil tempahan dari para pelanggan sebelum membuat order AK dari Syarikat Gemilang Cakaran (minima 300 ekor per delivery).  

Pengiraan keuntungan En Rosli boleh diwakilkan seperti berikut :

Jumlah min per order : 300 ekor
Berat purata : 1.6kg per ekor
Berat total 300 ekor : 300 ekor x 1.6kg = 480kg
Harga di beli dari Syarikat Gemilang Cakaran : RM7.80/kg (Timbangan hidup diladang)
Harga total semasa borong : RM7.80 x 480kg = RM3,744
Harga Jualan Semula : RM8.80/kg (Masih keklkan timbangan hidup diladang)

Oleh itu,

RM8.80 x 480kg = RM4,224

Keuntungan,

Jualan - Modal = Untung

RM4,224 - RM3,744 = RM480 per order

En Rosli mampu menjual 2,400 ekor sebulan iaitu 8 kali order dari Syarikat Ayam Gemilang. (seminggu 2 kali hantar)

Maka,

RM480 x 8 = RM3,840

Dengan ini En. Rosli mengaut keuntungan kasar RM3,840 dalam sebulan iaitu dengan menjual 2,400 ekor AK hidup.

Note : Ayam ditimbang diladang dan dijual kepada pelanggan dengan timbangan ladang.

Jika kita lihat cerita En Rosli di atas, beliau mengamalkan trading secara sepenuhnya. Beliau mengambil peluang ke atas label dirinya sebagai penternak yang baik dan rekod penghasilan produk yang berkualiti.  Cara beliau menjaga kualiti produk tradingnya adalah dengan sentiasa memeriksa AK yang dihantar kepada beliau oleh Syarikat Gemilang Cakaran.  

Belum mengambilkira para penternak yang memproses AK untuk jualan yang mana harga akan lebih tinggi berbanding hanya trading hidup.  Keuntungan sangat bagus di mana, AK proses yang dijual mencapai RM12-14/kg (walaupun berlaku susut berat 20-30% akibat kesan proses buang darah, bulu dan usus namun keuntungan masih dikira hebat).

Demikianlah perihal sistem trading yang banyak menyelamatkan penternak baru dan lama di Malaysia, namun begitu tidak ramai yang menyedari hal ini dan masih menternak dalam kuantiti penuh walaupun mereka tahu tidak mampu.  Nasihat saya, gunakan peluang yang ada didepan mata dan sambil-sambil itu, usahakanlah menambah ilmu dan mencari kaedah mengurangkan risiko kerugian dalam menternak.  TRADING adalah salah satu altenatif hebat yang ada buat masa ini. Gunakanlah ia selagi diperlukan, dah ready kalu.. boleh teruskan menternak sekala penuh semula. Sekian perkongsian saya kali ini.


Nizam Yaacob
Anizam Resources
012 524 5002




Friday, June 8, 2018

"DARJAT" AYAM KAMPUNG DI MALAYSIA

Kredit Foto : Abang Bedin Jusoh,Terengganu.

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada para pelawat dan para penternak sedunia.

Tajuk yang bakal dikongsi kali ini agak berat sikit.  Tapi memandangkan saya nak menulis jugak, dan ini adalah blog saya, so ikut suka la kan haha.  Di Malaysia, tidak sama seperti di negara-negara jiran yang juga aktif menternak ayam, kita lebih suka mengupas sesuatu isu sambil berasa sangat risau.  Padahal yang paling perlu dirisaukan oleh penternak adalah, mampukah beliau menjual hasil ternakan beliau dan menjana keuntungan, pada hari itu!. Namun begitu, sedikit huraian dari saya ini bukanlah bertujuan menambah kekeliruan masyarakat, namun begitu cuba menyampaikan pendapat saya tentang isu ini.  Mohon para pembaca tidak terus membuat kesimpulan kerana ini hanyalah pendapat saya sebagai penternak ayam selama lebih 30 tahun. ya lah, lama duk bela ayam, pelik jugak la pasaipa isu ni tiba-tiba jadi hot, padahal berpuluh tahun jual-beli ayam ok je pun. Terasa la jugak nak menulis kan haha. 

Pertama sekali, kita tanya soalan ni : Kenapa berebut sangat nak jual ayam guna nama ayam kampung?

Jawapan : Sebab harga, dapat jual mahal...

Ok.. kenapa ayam kampung asli (AKA) mahal ? Sbb kaum Cina akan beli mahal.. ya betul, tapi kenapa? Sejak saya mula-mula bela ayam dulu sekitar tahun 1985 mmg Cina yang ramai datang rumah beli AKA, Melayu kalau datang beli pun sebab ayam dia dah habis jual dan beli ayam saya untuk top-up ayam dia, sbb Cina datang cari dah abih haha.  Kenapa Melayu xbeli AKA untuk makan.. sbb mereka pun dah ada bela.. kalau ayam diaorg abih. diaorang beli ikan atau ayam daging buat lauk.. ini hakikat yang berlaku di kampung saya.

Berbalik kepada soalan lagi : Kenapa AKA mahal? Ayam daging murah pulak?

Sebenarnya AKA tak mahal tuan-tuan, tapi ayam daging yang terlajak murah.  Menyebabkan AKA nampak mahal.  AKA ambil masa 4-6 bulan untuk capai berat 1-2kg (ikut jenis baka), tetapi.. ayam daging hanya perlu 30 hari untuk capai berat 2kg.  Jadi, kita difahamkan bahawa 'MASA ITU EMAS'.. iaitu masa sangat bernilai.. jadi tempoh masa 4-6 bulan vs 30 hari.. agak2 la.. mana yang lebih mahal?  Walaupun AKA dilepas bebas, makan xperlu banyak belanja, tapi tempoh masa itulah menjadi taruhannya.  

Isu kedua yang 'memberi' harga pada AKA adalah faktor pemakanannya.  Kerana apa? Kerana pemakanan ayam akan mempengaruhi rasa dagingnya.  Ada ka sapa-sapa yang tak kisah beli ayam sekilo RM20 tp rasa macam ayam daging? Agak-agak melompat tak? hihi.. AKA lepas bebas, makan serba serbi (xpayah ceritalah makan apa haha), rasa dan tekstur daging sangat hebat jadinya.  Perumpamaan, antara madu lebah ternak dari ladang bunga dibandingkan dengan madu lebah dari pokok tualang hutan, yang mana pilihan tuan? Ada beza harga tak? Kenapa mahal pula madu lebanh tualang padahal pergi kutip je bukan perlu keluar modal buat sarang dan sebagainya.  Ya.. mahal sebab lebah tualang kutip madu dari pelbagai jenis bunga, luas jajahan kutipannya.. tak sama lebah ternak, hanya sekitar ladang bunganya sahaja.. kalau di situ ada bunya tahi ayam dan kekwa.. maka itulah sahaja madunya (bunga tahi ayam dan kekwa ada madu ke? maaf xarif..)

Berapa harga runcit AKA sekarang ? (Jun 2018) Di Selangor, timbang hidup sekilo RM16-18, siap proses sekilo RM20-22.  Harga Ayam Kampung Kacuk (AKK) ? Hidup RM8-12/kg, siap proses RM12-14/kg. Ayam Daging ? RM6-6/kg hidup dan RM7-8.50/kg.  (Ni semua runcit, bukan borong.. borong harga macam-macam boleh jadi ikut isu semasa reban dan owner..)

Ada soalan-soalan bertanya : Apa jadi pada harga AKA jika diternak dalam reban dan makan dedak komersial semata-mata? Mahal macam tu jugak ka lagi?

ok.. Ikan patin sungai yang ditangkap liar sekilo berapa RM?  Yang diternak dalam sangkar pulak berapa RM? Baka ikan yang sama, makan benda yang berbeza.. macam tu juga AKA, tidak akan dipandang kalau hanya makan dedak semata, tanpa rayauan mereka di tunggul-tunggul yang beranai-anai, di celah-celah perdu pokok yang banyak telur semut, di tebing-tebing sungai yang banyak belalang.. dan sebagainya.  Ini juga menjawab persoalan kenapa harga AKK tidak sehebat AKA. Tq hehe

Ok, ada lagi soalan : Habis tu kalau AKK diternak lepas bebas bersama-sama AKA, jalani cara hidup AKA, adakah harga akan jadi AKA?

Suatu hari En Abu ngail ikan.  Dapat naikkan seekor keli Afrika seberat 1kg.  Harga keli sungai pada masa tu RM15 sekilo, harga keli kolam (Afrika) RM3 sekilo.  Agak-agak kalau En Abu jual RM15 sekilo keli yang dia pancing tu laku ke ? Kann.. Jadi tak akan AKK dapat 'darjat' yang sama dengan AKA dengan hanya cari makan bersama, cuma mungkin ada kenaikkan sedikit dari harga asal AKK sekiranya seller pandai menggunakan USP yang ada pada AKK nya itu.

Dah-dah.. jangan ditanya pulak kalau ayam daging bersama-sama cari makan dengan AKA.. haha

Soalan seterusnya : Sama-sama makan dedak yang sama, sangkar yang sama tetapi hanya tempoh matang untuk dijual sahaja yang berbeza, kenapa harga AKK dan Ayam Daging berbeza??

3 kriteria penentu harga : 
1. Corak pemakanan
2. Tempoh masa membesar
3. Baka

Daripada 3 di atas, tinggal 2 je yang jadi perbezaan, iaitu tempoh masa membesar dan baka.  AKK perlu 2 bulan untuk capai 2kg berat badan.  Ayam Daging perlu 30 hari untuk capai 2kg. 

AKK Umur 2 bulan perlu 6kg dedak
1kg dedak RM1.70
Total 2 bulan RM1.70 x 6 = RM10.20

Ayam Daging Umur 1 bulan perlu 3.5kg dedak
1kg dedak RM1.70
Total 30 hari RM1.70 x 3.5 = RM5.95

Agak-agak pasaipa AKK mahal berbanding ayam daging? Itu belum diambilkira harga anak ayam dan kos penjagaan yang terang-terangan sangat berbeza kosnya.

Baka : Kenapa baka juga penentu harga? 

Kerana melalui bakalah para penternak dapat mempelbagaikan dan menentukan corak pemakanan dan tempoh masa membesar.  Contohnya : Para penternak tidak boleh gunakan baka ayam daging untuk tujuan ternakan lepas bebas dalam reban yang tidak berbumbung, dengan mengharapkan prestasi tumbesaran dan kesihatan sama seperti AKA. Sepengalaman saya, ayam daging tidak sesuai diternak  secara lepas bebas, (ok..ok.. ada pulak kata, eh saya buat ok je!  Ya buat lah.. berapa orang yang bela 3,000 ekor ayam daging lepas bebas.. setakat 30 ekor sy pun xmau la komen haha.. )  Sebaliknya juga, penternak tidak boleh ternak AKA dalam reban umpama ayam daging dengan mengharap AKA mereka akan jadi berat 2kg lepas 30 hari.. dan jual sekilo RM18. Jem gini..

Kesimpulannya :

Maaf sekiranya kita tak sependapat hehe. Bagi saya, gabungan baka, corak pemakanan dan tempoh masa membesar tidak dapat dipisahkan dalam penentuan harga ayam. Jagan asingkan 3 beradik kriteria ni, bila diasingkan akan kelirulah pengguna. Namun begitu, para penternak masih bebas menggunakan Unique Selling Point (USP) bagi produk masing-masing untuk melariskan produk selagi tidak menipu.  USP seperti ayam bebas antibiotik, ayam omega 3, ayam lepas bebas dan ayam herba boleh menjadi HOT sekiranya penternak jujur.  AWAS ! Jangan sampai ada USP melibatkan ayam beriman, ayam diperdengarkan AL-Quran, ayam doa, ayam organik (tanpa sijil sah), ayam solat 5 waktu, ayam selawat la bagai pulak nanti.. xlarat nak bersubahat dah bila kita diam.. menjadi-jadi pulak.  

SEKIAN

** Tulisan ini sekadar menyuarakan pendapat saya tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.  Selaku orang yang bergiat secara langsung dalam bidang ini, saya amat-amat gembira bilamana tumbuhnya para penternak-penternak baru dari kalangan kaum Melayu.  Namun begitu, janganlah kita terlalu taksub dengan standard, bukan semua benda boleh di standardkan.  Terdapat beberapa perkara yang lebih elok dibiarkan berada pada tempatnya seperti sediakala.  Alhamdulillah.  Saingan sihat diperlukan di sini. In sha Allah.

Nizam Yaacob
Anizam Resources
012-524 5002

Thursday, November 30, 2017

STROK HABA PADA AYAM


Strok Haba atau Heat Stroke pada ayam/unggas tidak asing lagi di Negara kita terutama kepada baka-baka ayam yang berbulu tebal seperti ayam giant cochin, brahma dan tidak ketinggalan ayam pedaging.  Bagi ayam hiasan seperti giant cochin dan brahma khususnya, memang menjadi antara masalah besar kerana baka-baka ini diimport dari Negara seperti Eropah yang mempunyai suhu agak rendah berbanding Malaysia. 

Pengalaman membeli ayam dewasa yang diimport dari Negara Eropah sejak 2014 menjadikan saya sangat berhati-hati dalam menjalankan kuarantin di reban saya sebaik sahaja ketibaan mereka.  Terlalu banyak perkara yang perlu difikirkan dan dibimbangkan.  Perkara-perkara seperti jenis makanan, kesesuaian saiz sangkar, level stress yang telah/sedang mereka lalui, kesesuaian suhu reban, ketahanan tubuh pada virus, bakteria dan hama di reban baru sehinggalah kebimbangan kepada kesesuaian jumlah klorin dalam air minuman (yang mana tidak beri kesan besarpun, tp tetap risau bila ayam start monyok huhu).  Setiap kali terima ayam import baru, perkara pertama yang saya lakukan adalah periksa keadaan fizikal ayam dimulai dengan berat ayam.  Ya kita faham bila ayam diimport maka mereka akan melalui 1-2 minggu kuarantin di Negara asala sebelum bertolak ke Malaysia.  Dan bila sampai di Malaysia, bakal dikuarantin sekali lagi selama 1-2 minggu bergantung kepada undang-undang semasa.  Dalam reban kuarantin di KLIA atau Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Penang ni, pengimport tidaklah boleh hari-hari datang jaga, jadi terpaksa upah orang pusat tu jaga, dia pulak bukan pakar jadi tuan-tuan pun boleh agak lah kebajikan ayam secara individu jadi macamana.  Tak dapat salahkan mereka sebab baka-baka ni memang bukan mudah nak jaga.  Memang masa tamat kuarantin, ayam akan kurus.  Tapi tak kisahlah asalkan sihat.  Kalau tak sihat tu nasiblah, tawakal je bawa balik dan rawat ikut skill masing-masing.  Andai kata padam jugak pun pasrah je lah ye huhu.  Ayam ni bila kurus sebab kurang makan tiada masalah, tapi kalau kurus sebab sakit, memamg kita jem dik oii.. jem jem jemmmm huhu.

Perkara kedua saya akan check selepas terima ayam adalah check kut-kut ada penyakit.  Rapatkan badan ayam ke telinga untuk dengar nafas ayam, risau ada bunyi disebabkan penyakit pernafasan.  Paling koman pun check for Infectious Coryza (dalam bahasa Melayu : selsema ayam), bukan selsema burung tu.. kalau ada yg tu sedari kuarantin dulu tak lepas dah huahuahua.  Rawatlah guna tilmicosin ke, oxytetracycline ke, florfenicol kea tau apa-apa antibiotic yang disyorkan untuk rawat coryza.  Kalau ada penyakit lain pun sila alert ya tuan-tuan, jangan check coryza je.  Mungkin ada berak kapur ke, berak darah ke atau berak hijau.

Seterusnya saya akan check bulu-bulunya, jangan ada kutu atau hama pulak.  Dah.. merebak pulak kutu dan hama omputih kat Malaysia ni haa.  So saya biasanya akan mandikan terus guna sampoo Dettol ke syampoo kutu kucing tu ke.. asalkan mapuh set-set kutu hama tu.. huahuahua.  Time nak mandikan tu kena lah cari masa yang sesuai, janganlah awal pagi atau petang nak malam tu, sejuk kot.  Naya dia.. saya biasanya mandikan pada jam 11 pagi atau paling lewat 3 petang, sempat la bulu tu kering sebelum malam menjelma.  In sha Allah selamat beliau.

Lepas semua tu, saya mulalah fikir macamana nak anginkan reban jika suhu agak tinggi.  Macamana nak tau suhu tinggi? Tengok je lah keadaan ayam tu, kalau mulut asyik nganga je, kepak asyik angkat renggang je dengan badan, sah lah panas tu.. takkan tunggu dia royak wi ko kito.. hehe.  Jadi saya biasanya akan bawak sangkar tu ke kawasan yang kurang panas contohnya bawah bumbung tinggi ke, kawasan berangin ke, kawasan tak kena sinaran matahari secara terus ke atau saya letak je reban tu bawah pokok yang redup (awas en sawa).  Kalau ada duit lebih, buat la reban sistem tertutup tu, macam reban ayam daging tu.. fuhh, hanya jika pok cik kayoooo. Haha.  Jadi bila ayam dah nampak kembali normal, paruh dan kepak kurang atau tidak langsung macam sebelumnya. Alhamdulillah kemungkinan besar untuk tuan dapat pewaris baka import ni adalah tinggi.  Tapi jika Nampak tidak berubah jugak, tuan kena selalulah basahkan bawah ketiak ayam tu dengan air sehingga lencun, elakkan letak depan kipas secara terus kerana ayam akan sejuk melampau.  Dan elakkan juga guna mist fan kerana akan bagi kesan kat paru-paru ayam, tak pasal-pasal ayam kena paru-paru berair lak nanti. Dahlah kecik je tubuhnya.

Foto ini menunjukkan tanda -tanda ayam sedang kepanasan : 
paruh dan kepak dibukak luas bertujuan membebaskan haba lampau.

Ok sekarang kita anggaplah ayam import ni dah selesa dan bebas kutu hama bagai.  So kita nak pilih makanan pulak untuk dia.  Apa yang saya buat adalah, sy akan cuba bagi makanan biasa yang saya guna untuk ayam-ayam direban saya tu, tp sikit je.. supaya dia kekal lapar sentiasa.. maknanya biar dia makan habis dan minta lagi.. makan lagi.. habis dan minta lagi.. cara ni lebih selamat berbanding kit abagi penug tembolok, lepas tu dia stop dan layan tembolok kembang sbb dedak dan kena air.  Dia start mengah dan mulalah ngantuk nak tidurrrr je.  AWAS !! Ayam kerap mengantuk di siang hari tu gejala badan tengah lemah dan bila-bila masa virus dan bakteria boleh tembus benteng imun tubuh.  Hati-hati ya anak-anak.  Lepas 2-3 hari dia dah mula serasi dengan dedak dan bekas air minuman kita tu maka tiada masalah lah untuk kita  terus penuhkan bekas makanan dengan dedak. 

Untuk kita lihat perkembangan positif atau negatifnya tahap kesihatan ayam-ayam ni adalah paling jelas dengan kelakuan mereka.  Bagi ayam jantan kalau bunyi kokoknya ada, kuat dan kerap, sahlah dia sihat atau makin sihat.  Dan bagi ayam betina, sekiranya asyik bunyi dan mematuk makanan dan sebaginya, maka terbukti dia sihat in sha Allah. Tapi… kalau jalanpun selangkah.. selangkah.. maka sila pikirkanlah rawatannya.

Biasanya ayam yang diimport dari Eropah memang dah matang (tp ada juga kes terpencil import ayam muda). So takkan lama akan bertelur lah mereka.  Tp kalau bela 6 bulan tak bertelur juga, kena fikir-fikirlah untuk cari apa punca.  Tu belum dikira betina dan bertelur cantik, tapi bila eram takde benih la pulak. Kebetulan konon import baka baru, kat Malaysia kita sorang je lah yang ada… haa padan muka. Nak cari mana lak jantan ganti. Jemmmmm lalu bisikan setan pun datang, “Kacuk ayam laga je lah”  hohoho

Soooo… berbalik semula kepada perbincangan kita berkaitan strok haba tadi (melalut jauh tuuu).  Seperti yang saya terangkandi atas tadi, cubalah sedaya mungkin kerapkan periksa keadaan ayam, sebab strok haba ni tak bagi tanda lama-lama, kejap je boleh padam.  Pernah terjadi kepada ayam giant cochin import saya, pagi jam 11 tgk ok lg.. makan-makan macam biasa, tiada satu tanda apapun yang menyatakan dia sakit.  Check pulak jam 1 tengahari dan terbaring, badan lembut lagi time dapat tahu.  Mati bodoh-bodoh gitu je.. omputih kata stupid-stupid death gitu.. hadoilaaa. Hiba wooo.  Duit melayang.

Bagaimana nak elak strok haba selain cara yang dah ditulis di atas tu? Ya.. ada satu lagi cara iaitu : jangan beli ayam tu.  Huahahha.. gurau je weihhh jgn marah nooo.. saya biasanya akan gunakan Nopstress yang mana kandunganya adalah gabungan vitamin yang bertindak sebagi anti stress dengan tambahan electrolyte yang bertindak menggantikan bekalan cecair yang hilang dalam tubuh ayam.  Fungsinya macam kita minum 100Plus tu. Alhamdulillah cara ni agak berkesan, maka saya memang sentiasa ada stok Nopstress ni kat reban.

Jadi jika tiada masalah ketara, maka ayam-ayam tuan ni akan bertelur danmembiak dengan baik di Malaysia.  In sha Allah akan ada para pelapis yang menghuni Malaysia dengan baik. Aamiinn.  Sekian dulu coretan untuk kali ni, semoga bersua lagi. Selamat Berjaya.