Tuesday, October 18, 2022

BAGAIMANA MENGHASILKAN AYAM PENELUR HIBRID (LOHMANN BROWN F1)



     Selamat sejahtera kepada para pelawat blog saya kali ini.  Tulisan saya kali ini bakal membincangkan tentang bagaimana hibrid ayam penelur Lohmann Brown yang dihasilkan oleh syarikat Lohmann Tierzucht dari Germany mampu mengeluarkan lebih 300 biji telur setahun dari seekor ayam betina.  Seperti yang kita tahu, terdapat beberapa jenis ayam penelur tulen sedia ada di dunia.   Namun begitu, baka-baka tulen (pure lines) ini mempunyai kelemahan seperti cenderung untukk mengeram, tubuh yang besar (makan banyak) dan rintangan penyakit rendah akibat inbreeding.  Oleh itu, para saintis haiwan moden telah menjalankan beberapa kajian dan menemui satu sistem silangan baka yang mampu mengatasi masalah-masalah yang disebutkan tadi.  Sebelum itu perlu anda fahami dahulu beberapa istilah dan di mana ia digunakan.  Berikut adalah istilah dan maksudnya :

GGPS     : Great Grand Parent Stock.  Iaitu baka tulen jantan dan betina dari baka yang sama, yang dikutip dari lokasi asal di mana ia diternak secara tanpa sistem contohnya di kampung-kampung.  Terdapat juga pengeluar yang tidak melalui proses ini tapi sebaliknya terus skip kepada proses GPS.  Biasanya hanya jika mereka percaya bahawa ayam baka tulen yang mereka kutip adalah betul-betul sudah tulen tanpa silangan secara sengaja atau tidak.

GPS       : Grand Parent Stock.  Iaitu baka tulen anak daripada GGPS dari baka yang sama, yang dibiakkan secara terkawal dan bersistem bagi menjamin baka bebas penyakit keturunan, tidak cacat dan betul-betul tulen.

PS         : Parent Stock. Anak hasil daripada GPS yang bakal digunakan bagi menghasilkan F1 nanti.  Pada Peringkat ini, jantan PS dari sesuatu baka akan dikacukkan dengan betina dari baka lain bagi tujuan tertentu contohnya menghilangkan sifat suka mengeram.

F1       : Filial Pertama (Filial bermaksud ‘anak dari silangan’).  Kadang-kadang F1 juga dikenali sebagai Final Stock (FS) sekiranya ia digunakan oleh end user contohnya ayam penelur betina yang diternak untuk dimakan telurnya, tiada yang ditetaskan dan bermaksud tiada lg pewaris. Ia akan disembelih setelah habis khidmat.

F2         : Filial Kedua iaitu apabila jantan F1 dan betina F1 disatukan dan menghasilkan anak. Jadi anak itu dikenali sebagai F2.

Hibrid   : Hibrid bermaksud kacukan iaitu kacukan dari dua baka yang berbeza, contohnya ayam kampung jantan disatukan dengan ayam selasih betina.  Maka anak yang dihasilkan oleh mereka adalah hibrid, yang bakal mewarisi sebahagian rupa dan sifat dari kedua ibu dan bapanya.



Foto di atas menunjukkan jantan PS RIR bersama betina PS WPR
serta anak betina berwarna coklat hibrid Lohmann Brown(F1).



Foto di atas menunjukkan baka tulen White Plymouth Rock yang dijadikan GGPS atau GPS kepada hibrid Lohmann Brown (F1)

Plymouth Rock(PR) adalah baka tulen ayam dua guna(daging dan telur) yang berasal dari Amerika.  Dengan kadar pengeluaran telur sebanyak 280 biji setahun, pejantannya mampu mencecah berat sehingga 3.6kg pada umur lebih 6 bulan.  Plymouth Rock datang dalam pelbagai warna.  Plymouth Rock betina yang berwarna putih digunakan dalam penghasilan Lohmann Brown supaya berbeza warna daripada RIR bagi memastikan anak-anak yang baru menetas boleh diasingkan jantinanya dengan menggunakan kaedah color sexing.




Foto di atas menunjukkan baka tulen Rhode Island Red yang dijadikan GGPS
atau GPS kepada hibrid Lohmann Brown (F1)

Rhode Island(RI) adalah baka tulen ayam dua guna(daging dan telur) yang berasal dari Amerika.  Dengan kadar pengeluaran telur sebanyak 300 biji setahun, pejantannya mampu mencecah berat sehingga 3.8kg pada umur lebih 6 bulan.  Warna bulu standard Rhode Island adalag merah gelap oleh itu ia dikenali sebagai Rhode Island Red(RIR) .  Rhode Island Red jantan yang berwarna merah gelap digunakan dalam penghasilan Lohmann Brown supaya berbeza warna daripada WPR bagi memastikan anak-anak yang baru menetas boleh diasingkan jantinanya dengan menggunakan kaedah color sexing.

Hibrid Lohmann Brown yang mempunyai darah dari baka tulen Rhode Island Red dan White Plymouth Rock ini dihasilkan bagi memenuhi sifat :

Tidak mengeram

Menghasilkan telur dengan kulit berwarna coklat

Bertelur lebih dari 300 biji per tahun.

 

     Mari kita lihat apakah susur galur keturunan Lohmann Brown sehingga ia terhasil dan berbakti kepada masyarakat dunia sehingga ke hari ini.  Syarikat Lohmann telah mencari dan mendapatkan GGPS dari dua baka iaitu Rhode Island Red tulen dan White Plymouth Rock tulen.  Kedua-dua baka ini tidak dicampur terlebih dahulu tetapi dibiakkan secara berasingan bagi menghasilkan GPS yang juga Rhode Island Red(RIR) tulen dan White Plymouth Rock(WPR) tulen.   Apabila GPS membiak dan menghasilkan PS yang juga masih lagi baka tulen RIR dan WPR secara berasingan, mereka dikenali sebagai PS yang cukup tulen dari segi genotype dan phenotype.  Syarikat Lohmann juga memastikan mereka bebas penyakit, bebas genetik cacat dan paling sempurna dalam jenisnya.  Baiklah, sekarang adalah masanya di mana kedua-dua baka ini akan disatukan bagi menghasilkan Lohmann Brown.  Jantan PS dari baka tulen RIR disatukan bersama betina dari baka tulen  WPR dalam satu reban.  Telur-telur yang terhasil akan dikutip dan dieram bagi menghasilkan F1.  Hanya F1 betina sahaja akan digunakan di ladang bagi menghasilkan telur-telur tanpa benih(tanpa sperma) bagi tujuan kegunaan manusia. Mankala anak jantan F1 biasanya dihapuskan. Satu keistimewaan apabila menggunakan jantan PS RIR (bulu coklat) dan betina PS WPR (bulu putih), di mana anak yang dihasilkan (F1) akan mewarisi bulu ibubapanya secara bersilang iaitu jantan F1 akan berbulu warna putih manakala betina F1 akan berbulu coklat.  Ada sesetengah penternak F1 telah mengahwinkan semula betina Lohmann Brown F1 dengan jantan Lohmann brown F1 bagi menghasilkan anak, anak ini akan dikenali sebagi Lohmann Brown F2.  Namun prestasi Lohmann Brown F2 tidaklah sehebat F1 dari segi jumlah pengeluaran telur, saiz telur dan rintangan penyakit.

Sumber : lohmann-breeders.com


LOHMANN BROWN F1 vs LOHMANN BROWN F2

     F1 biasanya dikeluarkan oleh syarikat-syarikat besar yang berdaftar dan mempunyai kemudahan pemvaksinan ND, IB dan Marek’s Disease.  F1 mempunyai standard komersil di mana sangat sesuai untuk ladang-ladang pengeluaran telur ayam untuk kegunaan manusia kerana prestasinya yang unggul.  Ini kerana ia dihasilkan daripada susur galur yang terjaga dan bebas penyakit genetik, mempunyai ketulenan baka dan bukan melalui proses inbreeding.  Lohmann Brown F1 telah terbukti sejak tahun 1932 mampu mengeluarkan antara 300 - 320 biji telur per tahun per ekor ayam betinanya.  Dengan berat badan antara 1.9-2.1kg per ekor bagi betina dewasa dan antara 3.0-4.0kg per ekor bagi jantan dewasa.

     Manakala F2 adalah sesuai bagi mereka yang menternak sekadar hobi atau memenuhi keperluan telur keluarga dengan pemantauan penyakit dan vitamin yang sempurna.  Disebabkan tiada jaminan ke atas prestasi pengeluaran telur, kadar tumbesaran dan rintangan penyakit ke atas F2, maka biasanya ia dijual murah kepada para pembeli.  

     Sekian dahulu huraian ringkas saya berkaitan kaedah penghasilan Lohmann Brown F1, jika ada apa-apa kemusykilan boleh hubungi saya di talian telefon yang tertera di bahagian kanan atas blog saya ini(About Me).  Terima kasih.









No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.